Barisan naib presiden MIC yang baru memberi isyarat perubahan besar apabila keputusan tidak rasmi menunjukkan bekas timbalan menteri dan bekas naib presiden S Sothinathan (di bawah) berjaya merebut kembali kerusi tersebut dengan undi terbanyak hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang merupakan satu-satunya penyandang yang berjaya mengekalkan jawatan. Manakala Speaker DUN Perak SK Devamany gagal mempertahankan jawatannya.
Bendahari Agung Jaspal Singh berjaya merebut tempat ketiga jawatan naib presiden. Beliau menang tipis ke atas S Balakrishnan dari Johor.
Bagaimanapun, undi mereka begitu rapat menyebabkan pengiraan semula diadakan. Keputusan rasmi akan diumumkan esok .
Bekas Ketua Pemuda MIC, T Mohan juga difahamkan gagal dalam perebutan lapan penjuru bagi jawatan naib presiden.
Pengiraan undi bagi memilih barisan kepimpinan MIC untuk penggal 2013-2016 bermula pukul 4 petang.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Pemandu Pemilihan, pengiraan undi bermula dengan mengira peti undi untuk calon-calon ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC), diikuti dengan naib presiden.
Seramai 1,452 perwakilan selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi yang bermula 11.15 pagi dan berakhir tiga jam kemudian iaitu pada pukul 2.15 petang.
Pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan lapan pemimpin kanan merebut tiga jawatan naib presiden manakala 88 calon merebut 23 kerusi CWC termasuk dua calon wanita. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan perhimpunan agung MIC ke-67 yang bermula secara rasmi hari ini menampakkan pelbagai ragam menarik, di dalam dan di luar venue berlangsungnya perhimpunan parti ketiga terbesar di negara ini.
Kumpulan petugas media yang sentiasa sibuk mencari berita dan melaporkan perkembangan terkini pemilihan parti pada perhimpunan itu, ternyata agak kecewa apabila 'dikurung' dalam bilik media dengan 'mengehadkan' pergerakan mereka.
Lebih mengecewakan bilik media yang berkedudukan di suatu sudut terpencil menyukarkan petugas media keluar masuk untuk menjalankan tugas mereka.
Jurugambar pula hanya diberikan dua hingga tiga minit untuk merakamkan gambar proses pengundian.
Ini kali pertama MIC melaksanakan peraturan ketat itu apabila hanya membenarkan jurugambar merakam gambar selama dua minit pertama iaitu semasa presiden parti Datuk Seri G.Palanivel mengundi, sebelum diminta keluar dari kawasan mengundi.
Jurugambar Bernama TV Abu Kassim Chik melahirkan rasa kesal apabila para jurugambar dilayan sebegitu sehingga menyukarkannya menjalankan tugas.
"Inilah pertama kali jurugambar diberi masa yang hanya dua minit untuk merakamkan proses pengundian. Ini amat susahkan kerja kami. Kami wartawan kesal tentang peraturan ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat media di Hotel Equatorial, tempat berlangsungnya perhimpunan agung MIC, hari ini.
M.Sunthar, jurugambar akhbar Tamil Nesan pula berkata beliau terkejut dengan peraturan baharu itu, yang hanya membawa kesusahan kepada para jurugambar.
"Ini adalah kerana kami selalunya mengambil giliran untuk merakam gambar seseorang pemimpin. Sekiranya, kami hanya diberi dua minit, bagaimana kita semua akan dapat gambar presiden MIC mengundi.
"Saya berasa sungguh sedih kerana pihak MIC tidak memahami tugas seorang wartawan. Kami hanya dipanggil bila diperlukan," katanya.
Sementara itu, calon naib presiden Datuk M.Saravanan turut berasa kesal dengan tindakan pihak terbabit, yang menurutnya tidak peka tentang kepentingan mengambil atau merakam gambar proses pengundian itu.
"Oleh itu, saya berharap pihak terbabit akan memberikan kemudahan yang diperlukan oleh kumpulan (pengamal) media untuk membuat liputan mesyuarat agung tahunan itu," katanya.
