Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pimpinan Pakatan Rakyat hari ini sepakat menggesa menteri besar Selangor mengurangkan semula gaji wakil rakyat negeri itu.
"Kita putuskan meminta menteri besar dan kerajaan negeri Selangor menimbang semula keputusan yang dibuat dan mengurangkan kadar yang ditentukan.
"Secara terperincinya kita serahkan kepada kebijaksanaan menteri besar, tetapi secara prinsipnya kita setuju jumlah ini perlu dikurangkan," kata Anwar.
Beliau bercakap dalam sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pagi ini.
Kenaikan gaji kepada kesemua 56 ADUN tersebut, berkuatkuasa 1 Januari depan, dijalankan melalui usul yang diluluskan di DUN pada 27 November lalu.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 itu turut mempertuntukkan kenaikan gaji Speaker DUN, menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri.
Dalam sidang media sama, Anwar turut mengumumkan yang Pakatan akan melancarkan kempen besar-besaran bagi memujuk rakyat menolak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Katanya, kempen yang akan dilancarkan pada 20 Disember ini di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru itu akan membawa tema 'Faham GST, Tolak GST'.
Kempen tersebut dipertanggungjawabkan kepada tiga wakil daripada setiap parti sekutu Pakatan - MP Pandan Rafizi Ramli, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.
Tambahnya, Pakatan juga akan menubuhkan satu panel khas untuk mengkaji cadangan persempadanan semula pilihan raya yang mahu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya.
Panel itu dianggotai MP Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, MP Nibong Tebal Dr Mansor Othman dan MP Serdang Ong Kian Ming, kata Anwar.
