Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lebih 20 atendan tempat letak kenderaan hari ini berkumpul secara aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri bagi membantah tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melaksanakan sistem letak kereta berkupon bermula tahun depan.

Wakil kumpulan itu Abdul Majid, 54, berkata tindakan tersebut akan menjejaskan pendapatan mereka selain ratusan atendan kawasan parkir akan kehilangan pekerjaan.

Sekarang kami memperoleh antara RM60 dan RM80 sehari namun dengan sistem berkupon ini kami dijanjikan lima peratus daripada hasil jualan, bayangkan kalau kami hanya dapat jual RM300 dan bawa balik rumah RM15, bagaimana mahu tanggung keluarga, katanya kepada pemberita.

"Kami mahu tuntut komisyen sebanyak 40 peratus dan berharap pengurusan sistem diambil alih oleh MPPP, bukan sebuah syarikat swasta," katanya lagi.

Beliau juga meluahkan rasa kesal dengan tindakan MPPP dan kerajaan negeri yang langsung tidak berbincang dengan pihak penjaga parkir sebelum memutuskan pelaksanaan sistem baharu itu.  

"Sebelum ini semasa BN memerintah di Pulau Pinang memang ada cadangan untuk sistem berkupon ini tetapi selepas kami bantah dan suarakan pendapat, kerajaan negeri ketika itu tidak jadi buat kerana perihatin terhadap nasib atendan letak kereta.

"Tetapi kerajaan DAP negeri ini yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat bukan sahaja cuba menindas hidup kami sebaliknya 'membunuh' atendan letak kereta dengan cuba melaksanakan sistem berkenaan tanpa persetujuan kami," katanya.

Lim Ewe Hai, 70, yang sudah 40 tahun bekerja sebagai penjaga kawasan parkir, pula mempertikaikan tindakan kerajaan negeri menyerahkan pelaksanaan sistem berkupon itu kepada satu syarikat sahaja.

"Kenapa kerajaan negeri tidak buat sistem tender terbuka untuk pengurusan sistem berkupon ini," katanya.

- Bernama

ADS