Kerajaan melalui Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) tidak menerima laporan rasmi dari kementerian, jabatan atau agensi mengenai dakwaan kes-kes pengintipan rahsia kerajaan seperti yang disiarkan media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Selain itu, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) sentiasa memastikan dokumen dan maklumat rahsia rasmi dilindungi berdasarkan peraturan sedia ada.
Shahidan menegaskan demikian ketika menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit di Dewan Negara hari ini.
Mariany meminta kerajaan menyatakan status dan tahap pengurusan keselamatan data, dokumen dan rahsia negara dan tindak balas kerajaan terhadap ancaman pengintipan dan pencerobohan asing.
Menurut Shahidan, kerajaan melaksanakan langkah-langkah keselamatan perlindungan bagi menjamin keselamatan data, dokumen dan rahsia rasmi negara supaya tidak jatuh ke tangan negara asing atau pihak tidak bertanggungjawab.
Antaranya, kata beliau, ialah pelaksanaan sistem tapisan keselamatan dan sistem e-Vetting terhadap penjawat, kontraktor atau vendor yang memberi perkhidmatan kepada kerajaan dan pekerja swasta yang bertugas di sasaran penting negara.
Menurutnya, tiada kebocoran rahsia rasmi berlaku sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara di sebalik dakwaan berlaku pengintipan dan pencerobohan asing baru-baru ini.
KPKK, tambahnya, sentiasa memastikan dokumen dan maklumat rahsia rasmi dilindungi seperti yang buku Arahan Keselamatan tetapkan.
- Bernama
