Jangan buat apa-apa keputusan, nasihat ROS kepada DAP
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menasihatkan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP supaya jangan membuat apa-apa keputusan bagi pihak parti itu kerana status mereka masih belum disahkan.
Dalam sepucuk surat bertarikh 6 Disember yang ditandatangani pegawai ROS, Mohammad Razin Abdullah kepada pihak Setiausaha Agung Lim Guan Eng, ROS menasihatkan parti itu menghantar empat dokumen kerana ia menganggap laporan pemilihan semula yang telah dikemukakan, adalah terlalu ringkas.
Ia juga berkata bahawa laporan yang dihantar kepada ROS itu kekurangan butiran yang diperlukan.
"Dengan mengambilkira aduan-aduan yang masih diterima dari ketua- ketua cawangan dan ahli-ahli DAP yang berterusan hingga ke hari ini, jabatan masih belum dapat mengiktiraf bahawa pemilihan semula yang telah dijalankan berdasarkan surat jabatan pada 30 Julai 2013 telah dipatuhi," katanya sambil menambah DAP perlu mengemukakan empat dokumen tersebut yang telah disahkan.
"Dengan ini juga pihak tuan dinasihati membawa ke perhatian ahli-ahli jawatankuasa DAP yang belum disahkan kedudukan mereka supaya jangan membuat apa-apa keputusan bagi pihak DAP sehinggalah ROS selesai menjalankan siasatan ke atas pelaksanaan kongres DAP yang baru berlaku dan pemilihan semula ahli-ahli CECnya," tambah surat itu.
Surat tersebut didedahkan dalam sidang akhbar tergempar oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, yang mengkritik arahan atau nasihat itu sebagai tidak masuk akal dan satu konspirasi oleh 'political master' ROS.

