Angka GFI berlebih-lebihan, kata gabenor BNM
Laporan Integriti Kewangan Global (GFI) yang menyebut aliran keluar wang haram dari Malaysia berjumlah RM174 bilion pada 2011 adalah angka yang berlebih-lebihan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Agensi berita nasional, Bernama memetik Zeti sebagai berkata keadaan telah berubah dari segi angka dan akan terus menunjukkan penambahbaikan ekoran langkah pengawasan bank pusat yang ketat.
Menurutnya, antara saluran yang menjuruskan kepada aliran keluar itu ialah pengurup wang dan untuk menangani perkara ini, Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang telah diperkenalkan.
"Kita telah melesenkan semula pengurup wang. Jadi, sekarang ini
terdapatnya pengawasan dan rangka kerja perundangan yang lebih ketat untuk menguruskannya," katanya kepada pemberita di luar majlis pelancaran BERSAMA Art Exhibition di Sasana Kijang di ibunegara hari ini.
Zeti mengulas laporan laporan terbaru GFI yang berpejabat di Washington, yang meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport keempat terbesar aliran keluar wang haram pada tahun 2011.
Pada bulan Mac, bank pusat juga mempertikaikan angka GFI bagi tahun 2010 sebagai "berlebihan" kerana ia tidak mengambil kira eksport semula.
Sementara itu, Zeti berkata Malaysia telah bersedia mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.0 peratus tahun ini dan 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2014, dirangsang oleh faktor-faktor luaran yang bertambah baik.
"Berdasarkan kepada semua petunjuk yang kita telah kita lihat, ini boleh dicapai.
"Bergerak ke hadapan pada 2014, sekiranya trend faktor luaran terus pulih seperti mana pada separuh kedua tahun ini, kita menjangkakan pertumbuhan akan terus baik," tambahnya.
Zeti berkata permintaan domestik yang terus mencatatkan pertumbuhan positif telah berkembang di rantau ini pada sekitar 7-8 peratus.
Sementara itu, antara yang dipamerkan pada pameran itu ialah lukisan tigadara oleh pelukis terkenal Indonesia, Basoeki Abdullah.
Bertajuk "Keluarga Cantik/Tiga Dara", seorang daripada wanita itu ialah pakar budaya Melayu terkenal dan ibu kepada Zeti, Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff.
Mengenai kemungkinan semakan semula pinjaman asas dan kadar dasar semalaman, Zeti berkata ia bergantung kepada tinjauan pertumbuhan, prospek inflasi dan risiko pertumbuhan.
"Ini akan disemak dari masa ke semasa. Kita perlu tengok ke peringkat mana risiko pertumbuhan kita dan risiko berkaitan inflasi tinggi ialah hasil daripada tekanan permintaan yang meningkat.
"Penilaian ini akan dibuat sepanjang tahun," tambahnya.

