VIDEO | 2.13 min

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar Naib Presiden PKR N Surendran yang menyamakan perjuangan parti itu (PKR) menentang Umno dengan penentangan Nelson Mandela terhadap dasar apartheid.

Beliau mendakwa kenyataan Surendran yang mengatakan Umno lebih mirip kepada 'penentang' bekas Presiden Afrika Selatan dan ikon penentangan apartheid Nelson Mandela sebagai "gila dan tidak berasas".

"Kalau dia (Surendran) kata Umno ini mengikut sistem apartheid, tolong tanya dia, bagaimana kita ada sekolah India dan Cina di negara ini?

"Itulah masalah dia, dia nak jadi popular, nak orang bayar sebagai peguam, dia 'loyar buruk'. Dia gila, di parlimen pun pengerusi (dewan) suruh dia keluar," kata beliau dalam sidang media di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Surendran dilapor berkata tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mengumpamakan usaha parti itu seperti perjuangan tokoh anti perkauman, mendiang Mandela, adalah perbuatan yang "tidak tahu malu".

Katanya, beliau terkejut apabila membaca kenyataan Najib yang menyamakan perjuangan Mandela memerangi apartheid di Afrika Selatan dengan tindakan Umno sekaligus mendedahkan kelemahan parti itu.

Surendran juga dilapor berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin Malaysia yang paling layak diumpamakan seperti Mandela sebagai tokoh anti perkauman.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang baru pulang dari mewakili kerajaan Malaysia dalam upacara peringatan mendiang Mandela di Suweto, Afrika Selatan Isnin lalu turut mempertikaikan komen yang menyatakan Umno dan Kerajaan didakwa menindas kaum minoriti.

Ahli parlimen Putrajaya berkata laporan mengenai perkara tersebut sebagai perbuatan 'mengadu domba' yang tidak mencerminkan hal sebenar di negara ini.

"Saya baru pulang dari Afrika dan hari ini saya terus bekerja.

"Umno ialah parti yang anti-apartheid, sebab itu kerajaan hantar dua menteri wakili Malaysia. Saya datang (ke Afrika) mewakili kerajaan dan Umno," kata beliau.

Nelson Mandela meninggal dunia 5 Disember lalu pada usia 95 tahun dan dianggap lagenda kerana perjuangan beliau memerangi sistem apartheid dan menyatukan negara Afrika Selatan.