Bergelap selepas UPM larang guna tempat
Hadirin di satu perbincangan akademik mengenai Model Ekonomi Negara terpaksa duduk di atas lantai dalam gelap malam tadi apabila tempat asalnya didakwa tidak dibenar digunakan oleh pegawai Universiti Putra Malaysia (UPM).
Juga terdapat kawalan ketat oleh anggota keselamatan universiti
yang mengambil gambar dan rakaman video acara tersebut, kata penceramah jemputannya, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan (kiri).
Ketika dihubungi, Wan Saiful berkata bilangan anggota keselamatan meningkat daripada tiga kepada enam orang apabila tempat asalnya, Latar Siswa, di Fakulti Bahasa Moden, ditukar kepada Kompleks Mahasiswa.
Beliau berkata, ia pastinya satu perubahan besar baginya - daripada dijemput hadir di kabinet dan kementerian, kepada bercakap dalam gelap kepada hadirin yang duduk atas lantai.
Supaya adil, tegasnya, anggota keselamatan tersebut hanya bertindak atas arahan dan lampunya mungkin dipasang pemasa automatik (automatic timer), "jadi kita tidak boleh mengatakan mereka yang matikan lampu".
"Tetapi anggota keselamatan mengekori saya dan mengambil gambar saya, malah seorang daripadanya meletakkan kamera video betul-betul di depan saya, kurang dari dua meter. Saya terasa seperti seorang selebriti," katanya berseloroh.
Beliau berkata kehadiran ramai anggota keselamatan itu mungkin
telah menyebabkan sesetengah pelajar tidak menghadiri acara tersebut.
Kira-kira 70 orang menunggu di Latar Siswa dan acara itu sepatutnya
bermula pada pukul 9 malam, dakwanya, tetapi hanya kira-kira 20 yang tinggal untuk mengikuti perbincangan selama dua jam yang berakhir pada tengah malam.
Wan Saiful berkata, anggota keselamatan itu secara "selamba" berkata kehadiran mereka adalah untuk memastikan keselamatan kerana perbincangan yang sama yang dianjurkan oleh kumpulan yang sama minggu lepas, berdepan dengan protes oleh kumpulan pelajar lain.
"Jika mereka benar-benar berada di sana untuk melindungi kami, maka benarkanlah kami guna Latar Siswa dan jaga keselamatan kami di sana," katanya.

