Kuil Sri Muneswarar serah pelan pembangunan pada k'jaan
Kuil Hindu Sri Muneswarar, dengan harapan untuk mengelakkan perobohan selanjutnya, telah mengemukakan kepada menteri pembangunan Wilayah Persekutuan pelan pembangunannya untuk melindungi kuil tersebut yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Penasihat undang-undang kuil itu, M Manogaran berkata ahli jawatankuasa Muneswarar telah bertemu dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam "satu mesyuarat singkat tetapi dalam suasana yang baik " dan beliau bersetuju untuk meneliti cadangan mereka.
Ini termasuk mewartakan tanah kepada kuil tersebut dan mereka sebaliknya tidak lagi akan membantah pembinaan laluan pejalan kaki antara kawasan kuil dan Menara Hap Seng, bangunan pencakar langit yang sedang dibina di sebelah kuil itu di Jalan P Ramlee.
Wakil kuil Sri Muneswarar sebelum ini membantah tindakan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL) melancarkan operasi meroboh sebahagian daripada bangunan sambungan kuil tersebut.
DBKL mendakwa ia mengambil tanah milik kerajaan itu untuk tujuan pembangunan.
Kuil itu pula sebaliknya mendakwa ia telah menduduki kawasan tersebut dan menggunakannya sebagai tempat ibadat sejak hampir 101 tahun. Mereka juga mendakwa Tengku Adnan bertindak di luar undang-undang.
Tengku Adnan sebaliknya mendakwa beliau tidak bertujuan untuk merobohkannya tetapi bagi mencantikkan kuil tersebut.
Dalam mesyuarat itu, Tengku Adnan memberitahu jawatankuasa kuil itu bahawa beliau akan mengemukakan lukisan senibina mereka kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap tempat ibadat bukan Islam untuk dipertimbangkan.
Bulan lepas, dua Ahli Parlimen PKR - N Surendran dan R Sivarasa - diarah keluar daripada sidang Dewan Rakyat kerana cuba mempertahankan kuil itu dengan berkata tindakan perobohan itu menghina agama Hindu di negara ini.

