Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: 'Bukti Syiah' Mat Sabu tak akan didedah
Diterbitkan:  Dec 15, 2013 6:51 AM
Dikemaskini: 7:13 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bukti yang didakwa mengaitkan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah tidak akan didedahkan kepada umum.

Laporan The Star Online menyebut, Zahid Hamid berkata beliau juga akan berhenti dari membuat kenyataan selepas menyerahkan bukti tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Tugas kami (Kementerian Dalam Negeri) adalah untuk memastikan keselamatan negara manakala tugas Jakim pula ialah melihat isu yang melibatkan akidah.

"Jadi, amat penting untuk menyerahkan bukti kepada jabatan (Jakim)," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai langkah lanjut Kementerian Dalam Negeri (KDN) setelah mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad Sabu dalam Syiah Khamis lalu.

KDN juga dilaporkan memiliki bukti lebih bermutu - dikategorikan sebagai "gred A" - yang didakwa boleh mengaitkan Mohamad sebagai pengikut Syiah.

Penolong setiausaha bahagian keselamatan dan ketenteraman awam KDN Zamihan Mat Zain mendakwa, bukti berkenaan termasuk kenyataan dari individu didakwa "anak buah" Mohamad.

Zamihan yang dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, mendakwa individu terdekat dan rapat dengan Mohamad itu menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.

"Ada yang 'sekapal' dari sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, yang jadi 'anak buah' dia.

"Mereka menyaksikan apa yang dia cakap, buat dan libatkan aktiviti-aktiviti berkaitan Syiah.

"Mereka juga pernah bersama-sama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat-mesyuarat kumpulan Syiah.

Jadi, kalau orang yang dekat dengannya boleh mengemukakan bukti, nak nafi macam mana?," kata beliau dipetik dari Mingguan Malaysia hari ini.

Zamihan menambah, KDN juga memiliki bukti yang mendakwa Mohamad pernah menghadiri seminar-seminar berkaitan Syiah di Iran selain pertemuan kerap dengan pemimpin tertinggi Syiah di luar negara sejak era 90-an lagi.

"Jangan lupa, bila dia ke luar negara, dia lawat siapa, pergi mana, sudah tentu ada aspek catatan rekod teknikal Jabatan Imigresen. Semua ada rekod dan bukti.

"Ada (bukti) gambar, tetapi tidak banyak termasuk video," kata Zamohan seperti dipetik dalam laporan itu.

Zamihan turut menyelar beberapa pihak termasuk pemimpin Pas yang menganggap 10 maklumat berhubung penglibatan Mat Sabu dengan Syiah sebelum ini sebagai bahan lawak.

"Kementerian mengemukakan 10 maklumat secara fakta. Kalau fakta-fakta ini ditarafkan sebagai lemah, lawak atau tak masuk akal, sila bawa fakta yang boleh nyahkan (menghapuskan) bukti-bukti kementerian itu.

"(Tetapi) sampai kini, tak mampu nyahkan bukti itu. Kita tak akan dakwa kalau tiada fakta. Kita bukan bercirikan politik atau nak aibkan individu berkenaan. Kita bercakap atas platform kebenaran," tegasnya.