NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meneruskan tekanan ke atas seterunya, Gabungan NGO Malaysia (Comango) dengan menyebarkan risalah anti lesbian, gay dan transgender (LGBT), yang antara lainnya.

Risalah itu merupakan sebahagian dari kempen 'Sejuta Ummah Tolak Comango' bagi membantah tuntutan Comango.

Risalah berkenaan dilaporkan turut menyelar Comango yang didakwa menuntut kebebasan untuk meninggalkan Islam, mengamalkan ajaran Syiah dan hak kepada golongan Katolik untuk menggunakan kalimah “Allah”.

Kenyataan ISMA pula menyebut, sebanyak 80,000 risalah tersebut telah diedarkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

NGO tersebut juga akan mengumpul tandatangan, yang akan diserahkan kepada kerajaan, bagi menuntut agar tindakan keras dikenakan ke atas Comango, menurut NGO itu.

Timbalan presiden ISMA Tuan Haji Aminuddin Yahaya dalam kenyataannya berkata, petisyen itu juga bagi menunjukkan bahawa dakwaan Comango adalah palsu.

“Kita akan menyerahkannya kepada pihak kerajaan dan ini juga sebagai isyarat kepada negara-negara anggota PBB supaya menolak tuntutan mereka (Comango),” kata beliau kepada wartawan ISMA.

Katanya lagi, ISMA selaku gerakan Islam memandang berat tuntutan-tuntutan Comango yang mencabar Islam dan perlembagaan negara.

“Tindakan mereka yang jahat ini boleh mengakibatkan tergugatnya keharmonian kaum yang selama ini hidup dalam keadaan aman damai.

“Oleh itu kita telah mengambil inisiatif menjalankan penerangan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang ancaman yang dibawa oleh Comango,” katanya lagi.