Sejuta penduduk di Kuala Lumpur dilapor bakal berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini. Tetapi bagi penduduk di beberapa kawasan terbabit, tiada situasi panik kelihatan.

Mereka rata-rata bersedia dan 'sudah biasa' lantaran pengalaman sebelum ini.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Pandan, Ampang dan Wangsa Maju mendapati keadaan tenang kerana perkhidmatan bekalan air dari Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) masih berjalan seperti biasa.

Penduduk Pandan Jaya, Alex Chan berkata penduduk di sekitar Pangsapuri Pandan Jaya sudah bersedia sejak kejadian putus bekalan air Julai tahun lalu.

"Ramai penghuni sudah ada tangki sendiri dan mula simpan bila ada notis dari SYABAS atau pihak pengurusan bangunan. Jadi kami sudah biasa," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

Pandan Jaya antara kawasan paling teruk terjejas apabila Rumah Pam Wangsa Maju rosak beberapa kali pada tahun 2012 dan kali terakhir Ogos tahun ini.

Sebelum ini, dilaporkan gangguan akan berlaku dari jam 8 pagi sehingga 9 malam setiap hari bermula hari ini sehingga 22 Disember bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaiki dan menaik taraf loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Sejuta pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Lembah Klang dilapor bakal terjejas dengan langkah itu.

Sementara itu, pereka Grafik Azrizam Kusin yang pejabatnya di Kucai Lama terjejas berkata, tidak nampak masalah berhubung perkara itu kerana telah dimaklumkan perkara itu lebih awal.

"Setakat ini, air ada lagi. Bagaimanapun pejabat sudah pun bersedia dengan bekalan air, ada baldi, dan tangki untuk kegunaan pekerja," kata beliau ketika ditemui di Jelatek, di ibu negara hari ini.

Kedutaan juga berjaga-jaga

Bukan sahaja pengguna biasa, rakyat asing, yang berkhidmat di pelbagau kedutaan dan bangunan multinasional di Kuala Lumpur juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan kemungkinan gangguan bekalan itu.

Kakitangan kedutaan British dan Rusia yang terletak di Jalan Ampang memberitahu Malaysiakini, persediaan rapi telah dilakukan bagi menghadapi krisis ini.

Bagaimanapun, setakat ini. bekalan air di pejabat masing-masing masih berjalan seperti sediakala.

Sementara itu, jurutera M Rajan yang ditemui Malaysiakini pula mempersoalkan masa lima hari yang diperlukan untuk kerja penyelenggaraan ini berdasarkan pengalaman beliau dalam industri air.

"Loji memerlukan penyelenggaraan. Dari apa yang saya dengar, bukan hanya paip tapi bahagian elektrik (loji itu) turut memerlukan penyelenggaraan.

"Sebagai jurutera saya faham masalah ini tetapi 5 hari terlalu lama. Mereka perlu buat secara berperingkat. Mungkin sehari untuk tutup setengah dari loji untuk membolehkan sedikit air disalurkan.

Beliau turut berpendapat kerja penyelenggaraan itu boleh dilakukan dari malam hingga pagi bukan pagi sehingga malam seperti yang dilakukan kini.

"Penutupan loji dari malam hingga pagi tidak terlalu berat. Mesti faham, bila tutup (loji) semua paip akan kering, baru boleh buat kerja penyelenggaraan.

"Kerja itu boleh ambil masa selama empat jam dan lagi empat jam diperlukan untuk paip penuh semula. Semua sekali ambil masa 12 jam sehari. Tiada cara untuk lebih cepat dari itu tapi bagi saya lima hari terlalu lama," tambah beliau.

Sementara itu, di kawasan yang sepatutnya tidak terjejas pula, seperti Wangsa Maju pula hari ini mengalami gangguan bekalan akibat kerosakan paip di kawasan tersebut yang didakwa kerap berlaku.

"Kami sudah tadah air dan bersedia juga simpan air semalam. Manalah tahu kalau kena juga.

"Jadi sedia awal," kata Jurukamera Muhammad Naim Abu Bakar yang menginap di sebuah rumah pangsa di Seksyen 4.