Aktivis lakon sketsa bantah Obama, Abbott, Abe
Sekumpulan 30 orang aktivis mempersembahkan satu sketsa sebagai simbolik bantahan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang kini masih di peringkat rundingan di antara wakil Malaysia dan 11 negara lain.
Sketsa bertajuk 'Kedaulatan Makanan Negara' itu menampilkan tiga orang aktivis yang masing-masing memakai topeng wajah presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.
Ketiga-tiga pemimpin dunia dalam itu digambarkan sebagai wakil kuasa yang akan “memanipulasi sumber tempatan” negara-negara dalam TPPA.
Sketsa itu seterusnya menunjukkan Obama, Abbot dan Abe bersemuka dengan tiga watak lagi yang digambarkan sebagai petani dan nelayan.
Watak ketiga-tiga pemimpin dunia itu kemudiannya menuntut agar petani dan nelayan berkenaan menyerahkan jiwa, pekerjaaan dan sumber asli kepada mereka.
Sketsa selama tiga minit itu memuncak dengan protes oleh kumpulan aktivis yang menyekat kemaraan watak Obama, Abbott dan Abe dan mempamerkan poster dengan slogan bantahan.
Dalam kenyataan yang diedarkan di acara tersebut, kumpulan aktivis berkenaan menjelaskan bahawa bantahan tersebut berasaskan kepada kebimbangan mereka ke atas TPPA dan kesannya pada industri pertanian tempatan.
“Tarif dan subsidi bagi produk pertanian dan perikanan adalah bertujuan untuk melindungi kebajikan petani, penternak dan nelayan tempatan dan bagi menjamin hak (kawalan ke atas sumber) makanan negara.
“Jika tarif dan subsidi ini dihapuskan kami menjangkakan akan berlaku lamabakan hasil pertanian dari negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia, yang akhirnya akan membunuh industri pertanian tempatan,” kenyataan itu dipetik.
Persembahan di satu ruang tumpuan orang ramai di hadapan Pasar Seni, Kuala Lumpur itu turut diperhatikan dua orang anggota polis.
Ia dijalankan oleh para aktivis mewakili Aktivis Pengupayaan Insan, Bela Tani, Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung Malaysia, Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah dan Jaringan Suara Rakyat Perak yang bergabung bawah Solidariti Utara Untuk Kedaulatan Makanan Negara.

