'Tak perlu demo bantah kenaikan kos sara hidup'
Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali berpendapat kenaikan kos sara hidup tidak mewajarkan orang ramai untuk turun ke jalan raya sebagai tanda protes.
"Ia tidak mewajarkan kita semua untuk turun ke jalan raya sebab tindakan demikian akan memburukkan lagi keadaan.
"Pada saya NGO seperti PERKASA antara yang kita boleh buat adalah dengan menghantar memorandum (kepada kerajaan)," katanya dalam sidang media di ibu negara petang ini.
Beliau merujuk kepada pengumuman timbalan presiden PAS Mohamad Sabu bahawa tahun 2014 yang bakal tiba dua minggu lagi mungkin akan menjadi tahun demonstrasi bagi membantah Dengan kenaikan pelbagai harga barang dan perkhidmatan.
Mohamad pada malam tadi mengumumkan, satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada Hari Buruh 1 Mei, bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup itu.
Mohamad juga mengumumkan, "perhimpunan kecil-kecilan" turut diadakan bagi membina momentum menjelang perhimpunan yang belum ditetapkan lokasi dan tarikh tetapnya itu.
Sementara itu, Ibrahim turut mengumumkan bahawa mesyuarat agung tahunan PERKASA yang keempat akan berlangsung pada hari Ahad ini bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Menurutnya, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan menjadi tetamu kehormat seterusnya merasmikan mesyuarat itu.
Menurutnya, Tengku Razaleigh dijemput kerana beliau adalah seorang negarawan yang telah banyak menyumbang kepada negara.
"Kita pernah dicop perkauman sebelum ini tetapi negarawan ini bersetuju untuk datang dan kami sangat teruja dengan kehadiran beliau," katanya.

