Pemuda PAS berpendapat tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Heat menunjukkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini sudah tidak ingin lagi berlembut dengan pihak yang menyuarakan kritikan.

Ketua sayap parti PAS itu, Suhaizan Kaiat berkata “tindakan zalim” ke atas akhbar berkenaan tidak wajar dilakukan oleh pentadbiran Najib, sekalipun jika laporan The Heat menyinggung hati perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Langkah KDN (gantung akhbar The Heat) mengembalikan semula era kuku besi Tun Dr Mahathir Mohamad yang menutup pintu kebebasan ahbar di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataannya itu merujuk kepada tindakan pentadbiran Mahathir yang menggantung permit sejumlah penerbitan dan menahan lebih 100 ahli politik dan aktivis bawah ISA dalam Ops Lalang 1987.

"Ia juga menandakan zaman lunak Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rakyat sudah berakhir dan kini adalah masa untuk melunaskan dendam kesumat serta kemarahan beliau terhadap sesiapa sahaja yang mengkritik beliau," kata Suhaizan dalam kenyataannya.

Tambahnya, Najib sebagai seorang negarawan patutnya berjiwa besar dan menerima apa teguran dan kritikan seperti itu.

"Dalam kritikan tersembunyi pelbagai kebaikan seperti muhasabah diri dan membina diri beliau agar mampu menjadi pemimpin contoh kepada rakyat.

"Kritikan menandakan rakyat masih sayang kepadanya dengan cara menegur segala kepincangan yang dilakukannya dan tidak terus menghukum beliau melalui pilihanraya atau jalan raya," katanya.

Sementara itu, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya menyifatkan tindakan KDN menggantung permit penerbitan The Heat sebagai perbuatan kasar untuk menekan kebebasan bersuara.

Anwar dalam satu tulisan di Twitter berkata, beliau yakin tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri itu tidak akan memadamkan “api kebebasan” yang dibawa oleh akhbar tersebut.

“Usaha kasar untuk mengekang kebebasan berusara tidak akan menghapus kehangatan. Api kebebasan tidak akan mudah terpadam,” katanya.