Penerbit akhbar The Heat berkata Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan akan berlaku adil dalam mempertimbangkan rayuan penggantungan permit penerbitan mingguan tersebut.

Satu kenyataan oleh pengurusan The Heat menyebut, KDN selepas satu pertemuan di antara pengarang akhbar itu dan pegawai-pegawai kementerian.

"Pihak pengarang telah bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini.

"Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan sama juga memaklumkan pihak pengurusan akhbar itu telah membalas dua surat tunjuk sebab dari KDN bertarikh 27 November dan 2 Disember 2013 dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Selain itu, ia turut memaklumkan yang akhbar itu telah mendapat kelulusan menukar kategori penerbitannya daripada kategori "Ekonomi/Sosial" sewaktu permit penerbitannya diluluskan pada 8 Julai 2013, kepada kategori "Isu semasa" pada 18 September 2013.

Berita penggantungan mingguan itu oleh KDN mula tersebar pada 19 Disember lalu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tulisan bertajuk "All eyes on big spending PM Najib" (Semua mata tertumpu kepada PM Najib yang berbelanja besar) dalam salah satu edisinya.

KDN bagaimana pun kemudiannya memberikan alasan teknikal tidak dimaklumkan tentang pertukaran milikan dalam akhbar itu sebagai alasan penggantungan.