Bukan sahaja rakyat Malaysia yang prokebebasan media, kempen membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung mingguan The Heat kini turut mendapat perhatian kumpulan penulis dan aktivis media negara seberang.
Dalam kempen tweet harian hari ketiga malam tadi, tokoh budayawan Indonesia Goenawan Mohamad, penggerak awal Aliansi Jurnalis Indonesia (AJI) Andreas Harsono dan novelis terkenal Ayu Utami turut mengambil bahagian.
“Media bisa salah, tapi membungkam (mencengkam) media lebih besar kerugian dari manfaatnya. Paling rugi adalah warga Malaysia,” tulis Andreas (
kanan
) di akaunnya @andreasharsono malam tadi.
Andreas, pemenang anugerah 'Pendukung Hak Asasi Manusia John Rumbiak' lantaran usahanya di Papua Barat, antara paling aktif mengajak rakan seangkatan Indonesia menyokong kempen Gerakan Media Marah (GERAMM).
GERAMM, perkumpulan longgar petugas media, menganjurkan kempen tweet sejam setiap malam mulai Isnin lepas bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan KDN, sekali gus bersolidariti dengan The Heat.
Sementara itu Goenawan turut mengajak rakan di Indonesia mengikuti bantahan penggantungan The Heat di laman Twitter.
"Ada pembrangusan pers (penggantungan akhbar) di Malaysia: ikuti TL (kemaskini tweet) @andreasharsono," tweet beliau.
Ingatkan pada regim Soeharto
Pemenang Anugerah Putera Klaus kerajaan Belanda, Ayu Utami (
kiri
) pula antara paling awal menyokong perjuangan kumpulan media Malaysia.
"Perjuangan kelompok aktivis media indipenden di Malaysia ingatkan saya pada AJI di OrdeBaru; keep fight! (teruskan melawan)," tulis beliau.
Ketiga-tiga mereka merupakan aktivis yang menggerakkan perjuangan media dan pemikiran Indonesia menentang pentadbiran Orde Baru Presiden Soeharto sejak 1994 hingga kejatuhannya pada 1998.
Sementara itu, GERAMM bakal menganjurkan Forum ‘Bebaskan Media’ esok di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) pada jam 8.30 malam.
Panelis ialah Steven Gan ( Malaysiakini ), V Anbalagan ( The Malaysia Insider ), G Vinod ( Free Malaysia Today ), Ronasina (penerbit bebas), Masjaliza Hamzah (Pusat Kewartawanan Bebas atau CIJ) dan Hata Wahari (Wartawan Tanpa Sempatan atau RSF).
wartawan veteran Zulkifli Sulong akan menjadi moderatornya.
Antara isu bakal disentuh ialah keganasan pada pengamal media sewaktu BERSIH 3.0 pada 2012; masalah permit penerbitan dan kawalan Akta Penerbitan, penggantungan akhbar mingguan The Heat dan akhbar pembangkang.
GERAMM turut menganjurkan kempen memakai baju merah setiap Jumaat. Facebook kini diikuti oleh 2,891 pengguna dan 972 orang di Twitter .
