Ahli akademik dan golongan agamawan mula menyuarakan kritikan terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung penerbitan akhbar mingguan The Heat baru-baru ini.
Mereka rata-rata berpendapat tindakan kontroversi itu menyekat kebebasan bersuara dan menyalahi beberapa prinsip kebebasan dan syura dalam Islam.
Pensyarah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik menganggap penggantungan itu sebagai usaha mengekang kebebasan media, mencabuli prinsip tata kelola yang baik dan menyalahi prinsip syura yang dianjurkan Islam.
"Tanpa kebebasan media yang diperlukan berhubung isu tata kelola kerajaan dan politik, maka sesebuah kerajaan itu tidak akan menguruskan negara dengan cara yang adil, bertamadun dan demokratik,” katanya.
Menjawab soalan Malaysiakini semalam, Dr Maszlee juga berkata, kebebasan media memainkan peranan penting membentuk kerajaan berlandaskan ketelusan, termasuk melibatkan semua institusinya.
Menurutnya lagi, media juga satu mekanisme rakyat untuk pemantauan, teguran dan membetulkan pemerintah, sekaligus, mengelakkan pemerintah menjadi autokrat dan menyalahgunakan kuasa.
"Pemantauan rakyat serta masyarakat sivil ke atas pemerintah ini juga selari dengan konsep syura dalam Islam dan dinamakan oleh para ulama Islam sebagai al-Riqabah 'ala al-hukumah (pemantauan ke atas kerajaan),” katanya.
Wan Ji: Firaun halang kebebasan bersuara
Sementara itu, seorang ustaz, Wan Ji Wan Husein ( bawah ) pula apabila diminta mengulas itu The Heat terus membacakan sepotong ayat al-Quran yang menurutnya menunjukkan sikap pemerintahan autokratik firaun yang menafikan kebebasan bersuara rakyatnya.
“Nabi kata, berikan hak kebebasan kepada mereka yang berhak. Memang tak patut (gantung), mana boleh menghalang kebebasan bersuara.
"Mengharamkan surat khabar yang memaparkan penyelewengan pemimpin itu sepatutnya satu kerugian kepada pemimpin itu sendiri bukannya akhbar tersebut,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebuah forum membincangkan penggantungan akhbar itu dan isu-isu kebebasan media diadakan di Dewan perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di Kampung Attap, di ibu negara pada jam 8.30 malam ini.
Dianjurkan oleh perkumpulan longgar Gerakan Media Marah, forum itu akan membariskan editor kanan pelbagai media utama atas talian, termasuk Malaysiakini , penerbit bebas, NGO prokebebasan media dan wakil pemantau kebebasan media global Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
Forum malam ini sebahagian daripada kempen dua minggu Geramm membantah tindakan KDN menggantung The Heat . Perkumpulan longgar wartawan itu juga menganjurkan kempen memakai baju merah setiap Jumaat dan tweet bantahan setiap malam.
