Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peristiwa pencerobohan Lahad Datu, Sabah oleh tentera pemberontak Jamalul Kiram yang mendakwa pewaris Kesultanan Sulu, pada awal 2013 menguji kemampuan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggalas tugas liputan berbentuk peperangan.

Ia satu lagi peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara, yang membuktikan para penerbit, wartawan, penyampai, jurukamera dan semua anggota kru Radio Televisyen Malaysia khususnya TV Malaysia berupaya memikul tugas dengan tahap profesionalisme yang tinggi sesuai dengan usianya yang kini memasuki 50 tahun.

Laporan terkini yang disiarkan setiap hari dari lokasi kejadian menjadi sumber penting semua golongan masyarakat yang ingin mengetahui perkembangan terbaharu peristiwa itu.

Tanpa menghiraukan bahaya, setiap petugas di lokasi turut bersama-sama anggota pasukan keselamatan bagi mendapatkan gambaran dan maklumat tepat mengenai setiap kejadian.

Namun demikian, setiap petugas perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian baju keselamatan dan seumpamanya", kata Norliza Mohd Ali, Timbalan Pengarah (Penerbitan) Bahagian Program TV RTM kepada Bernama.

Liputan pelbagai peristiwa

Dalam tempoh lima dekad, TV Malaysia menjadi saluran penting dalam menyalurkan maklumat mengenai peristiwa yang ada kaitan dengan kepentingan negara seperti bencana, kemalangan dan pelancaran program pembangunan negara.

Ketika negara digemparkan dengan tragedi 13 Mei selepas Pilihan Raya Umum 1969, TV memainkan peranan penting menyalurkan maklumat berguna daripada kerajaan bagi mententeramkan rakyat yang telah dihasut oleh kumpulan yang sengaja meniupkan sentimen perkauman.

Ia dilakukan melalui penyampaian maklumat dalam siaran berita mahupun pengumuman berkala.

Pada 5 Jan, 1971, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan setelah banjir besar melanda seluruh negara termasuk Kuala Lumpur.

Antara operasi yang terjejas ialah siaran Radio Malaysia di Rumah Persekutuan sehingga RTM terpaksa memindahkan operasinya ke stesen Radio Malaysia Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kata Norliza, TV Malaysia yang beroperasi dari Angkasapuri tidak terjejas dan dapat terus bersiaran menyampaikan berita dan maklumat berkenaan banjir.

Siaran langsung terbaik

Sejak dahulu keupayaan TV Malaysia menyiarkan siaran langsung memang tidak dipertikaikan. Dengan peralatan terkini dan petugas berpengalaman, setiap siaran langsung oleh TV Malaysia pasti menarik perhatian penonton.

Tarikh 1 Julai, 1975 pasti diingati oleh seluruh rakyat Malaysia ketika itu terutama peminat juara tinju dunia, Muhammad Ali.

Buat julung kalinya perlawanan tinju dunia antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner dibawakan secara langsung oleh TV Malaysia dari Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Walaupun banyak siaran langsung dibuat selepas perlawanan bersejarah itu, pertemuan Muhammad Ali-Joe Bugner tetap dianggap siaran langsung terbaik oleh TV Malaysia.

Lahir bakat baru

Satu lagi sumbangan penting TV Malaysia, menurut Norliza adalah penerbitan program mencari bakat yang bertujuan bukan sahaja memupuk bakat seni dalam kalangan anak muda tetapi turut dijadikan landasan untuk menerapkan nilai murni dalam kalangan remaja.

Penglibatan remaja dalam pertandingan anjuran RTM dapat menghindarkan mereka daripada kegiatan tidak berfaedah, kata Norliza.

Bakat-bakat yang ditonjolkan itu kemudian diketengahkan dalam program terbitan TV Malaysia bagi menyemarakkan kegiatan seni budaya dalam kalangan masyarakat.

"Rancangan seperti 'Muzik, Muzik, Muzik' pada 1969, yang menonjolkan Allahyarham Azean Irdawaty dan kumpulan The Zeds sebagai juara pertama terus melonjakkan bakat seni Azean sehingga Allahyarham muncul sebagai pelakon yang tiada tolok bandingnya di negara ini", jelas Norliza.

Kejayaan "Muzik, Muzik, Muzik" mendorong RTM khususnya TV Malaysia menerbitkan program lain seperti "Juara Kugiran", "Bakat TV", "Bintang RTM" dan "Bintang HMI" yang melahirkan ramai bakat seni antaranya J. Sham dan The Wanderers, September 5, The Burglars, Datuk Jamali Shadat, Rahim Othman, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Sudirman Hj Arshad dan Siti Nurhaliza, sekadar menyebut beberapa nama.

Selain itu, program berteraskan seni budaya seperti Dendang Rakyat turut mendapat perhatian penonton.

Diketuai 13 menteri

Sebahagian besar kejayaan TV Malaysia dalam tempoh lima dekad kewujudannya adalah kerana visi menteri yang mengetuai kementerian berkaitan.

Sepanjang tempoh itu, kementerian yang menaungi RTM telah bertukar nama tiga kali.

Pada awal penubuhannya, ia dikenali sebagai Kementerian Penerangan dan Penyiaran (1961-1974) dan ditukar kepada Kementerian Penerangan (1975). Pada 2009, dengan penambahan agensi di bawahnya, namanya ditukar kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Akhirnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lepas, kementerian itu dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Daripada 13 menteri yang mengetuai kementerian berkenaan daripada Tunku Abdul Rahman (1961-1964) hingga Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (2013-sekarang), sebanyak empat menteri memegang jawatan itu dua kali pada tempoh berlainan. Mereka adalah:

- Tengku Ahmad Rithauddeen (1974-1975 dan 1986-89)

- Tan Sri Mohamed Rahmat (1978-1982 dan 1989-1999)

- Tan Sri Dr Rais Yatim (1984-1986 dan 2009-2013)

- Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (2007-2009 dan 2013-sekarang)

Kredibiliti yang tinggi

Walaupun dasar kementerian berubah mengikut menteri, matlamat asas RTM masih sama iaitu menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur.

"Ketiga-tiga matlamat itu dijadikan panduan oleh penerbit rancangan dan berita dalam melaksanakan tugas mereka menyampaikan dasar kerajaan seperti yang digariskan oleh menteri yang berkenaan", kata Norliza.

Norliza memberi contoh kempen "Setia" yang diperkenalkan oleh Tan Sri Mohamed Rahmat sebagai kempen yang paling berjaya pernah dilaksanakan oleh RTM khususnya TV Malaysia.

Kejayaan liputan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas menjadi tanda aras corak liputan yang seharusnya diamalkan oleh stesen TV.

"Walaupun penggunaan media baharu dikatakan agak menonjol pada PRU-13, TV masih dianggap saluran maklumat yang mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi", kata Norliza.

"RTM khususnya TV Malaysia dipuji kerana telah melaksanakan peranannya sebagai saluran media yang bertanggungjawab.

"Sudah pasti, ia banyak bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh menteri", katanya.

Liputan adil

Tan Sri Dr Rais Yatim yang menerajui liputan PRU-13 dengan jayanya ketika memegang jawatan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan selalu mengingatkan petugas media agar memberi liputan yang tidak berat sebelah kepada parti-parti yang bertanding.

Dasar ini turut dilaksanakan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggantikan Rais selepas PRU-13.

"Pada Pilihan Raya Kecil Sungai Limau 4 Nov lepas, Datuk Seri Ahmad Shabery sentiasa memantau laporan yang dikeluarkan bagi memastikan penonton menerimanya dengan cepat.

"Beliau juga menganggap liputan TV Malaysia pada PRK Sungai Limau, yang menyaksikan pembangkang mengekalkan kerusi DUN berkenaan, sebagai menepati ciri-ciri media yang adil dan bertanggungjawab", kata Norliza.

- Bernama

ADS