Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata beliau bercadang untuk mengemukakan saman ke atas timbalan ketua polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh atas tuduhan yang mengaitkan beliau dan NGO tersebut 'himpunan guling kerajaan'.
Beliau akan mengemukakan saman tersebut sekiranya Amar Singh tidak meminta maaf dan menarik balik tuduhan tersebut.
Katanya beliau juga akan memulakan saman ke atas agensi media yang menyiarkan "fitnah dan propaganda" tersebut.
“Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan semua media jahat yang menjadi lidah penyambung fitnah tersebut.
“Isnin ini, saya dan SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media-media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya," katanya.
“Tuduhan tersebut lebih jijik lagi apabila disambung dengan propaganda jahat iaitu perancangan mengebom dan sebagainya,” kata Badrul Hisham dalam satu kenyataannya hari ini.
SAMM menegaskan berulang kali bahawa himpunan tersebut adalah protes aman ke atas kenaikan kos sara hidup dan bukannya tindakan keganasan untuk mengguling kerajaan, katanya lagi.
“Namun pemerintah yang menganggap kebangkitan kesedaran rakyat sebagai tekanan telah memulakan propaganda dengan memunculkan persepsi jahat terhadap himpunan protes kenaikan kos sara hidup sebagai 'himpunan guling kerajaan.
“Maka media perdana digunakan sepenuhnya bagi mengalih isu dari kenaikan kos sara hidup kepada guling kerajaan,” katanya lagi.
Beliau mendakwa, Amar Singh turut menuduh SAMM menyimpan bom tangan.
“Datuk Amar Singh Ishar Singh telah buat sidang media seolah-olah ada maklumat gempar, seperti menjadi lidah kepada propaganda jahat tersebut apabila menyebut nama beberapa individu dan beberapa organisasi termasuk nama (saya) dan gerakan SAMM sebagai terlibat anjur himpunan guling kerajaan pada malam tahun baru, dikaitkan pula konon punya simpanan bom tangan dan sebagainya," katanya.