Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membelanjakan wang zakat sebanyak RM1 juta bagi membaiki 20 rumah penduduk miskin di seluruh negara pada tahun depan.

Pengurus Besar (Bahagian Pembahagian) TNB Kelantan Md Yuslan Md Yusof berkata senarai nama bakal penerima program membaik pulih rumah golongan asnaf itu akan dikenal pasti sebaik sahaja ia dilaksana.

"Program membaik pulih rumah golongan asnaf itu juga ada dilaksanakan di Kelantan tahun ini membabitkan empat rumah, dan kini mereka dapat tinggal dalam suasana selesa," katanya pada majlis penyampaian sumbangan 'Kembali Ke Sekolah'  di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara Jerek, Bertam hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mat Yusoff Ab Ghani.

Seramai 200 pelajar daripada keluarga miskin membabitkan sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri Nenggiri menerima bantuan pakaian dan peralatan sekolah.

Md Yuslan berkata TNB juga membelanjakan RM300,000 bagi membantu 1,300 pelajar daripada keluarga miskin di Kelantan dan beberapa negeri lain, yang akan memulakan persekolahan Januari ini.

"Ia sekali gus dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga miskin berkenaan, terutama mereka yang mempunyai bilangan anak ramai dan sudah tentu tanggungannya lebih besar, pada saat persiapan buka sekolah penggal pertama pada tahun baharu 2014 ini," katanya.

- Bernama