Selepas dituduh cuba menggulingkan kerajaan di Dataran Merdeka malam ini, Himpunan Turun kini cuba dikaitkan dengan pergerakan menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) pula.
Koordinator kumpulan hak asasi manusia, Suaram Ahmad Syukri Ab Razab mendakwa nombor telefon beliau telah digodam dan digunakan untuk menyebarkan kononnya himpunan malam ini untuk menuntut hak golongan gay.
Ahmad Syukri (
kanan
) mendakwa sejak jam 7.45 pagi semalam, beliau dihujani panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) mengenai mesej yang tidak pernah dihantar beliau.
Beliau berkata, mesej tersebut cuba mengaitkan penglibatan himpunan turun dengan kumpulan Seksualiti Merdeka, yang memperjuangkan hak sama rata golongan gay dan lesbian di negara ini.
SMS itu menurutnya menyatakan:
“4 our right as a free men n women, 2 love as gay ppl – show our support to AI&PR by attending #RPDM31D@Dataran Merdeka – Sexuality Merdeka.”
(Untuk hak kita sebagai lelaki dan wanita bebas, untuk berkasih sayang sebagai golongan gay - tunjukkan sokongan kepada AI (Anwar Ibrahim) & PR (Pakatan Rakyat) dengan hadir #RPDM31D @ Dataran Merdeka - Seksualiti Merdeka.)
Lapor polis pagi tadi
#RPDM31D adalah singkatan “Rakyat Pilih Dataran Merdeka 31 Disember” yang digunakan sebagai kata tajuk bagi perhimpunan malam ini di laman Twitter.
"Saya percaya SMS ini disebar oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi canggih dengan mencuri nombor peribadi saya untuk tujuan menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai.
"Saya pasti SMS ini berniat jahat, ingin mengelirukan orang ramai dengan mengaitkan himpunan TURUN dengan Seksualiti Merdeka, sekaligus menyebabkan orang ramai tidak mahu turut serta dalam himpunan pada malam ini.
“(Ia) Sama seperti cubaan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba mengaitkan himpunan malam ini sebagai demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Syukri berkata beliau telah membuat satu laporan polis di balai polis Pantai, Kuala Lumpur berkenaan perkara tersebut dan akan turun bersama skuad bantuan guaman Suaram.
"Suaram akan terus menjalankan tugas malam ini untuk membantu orang ramai yang memerlukan bantuan undang-undang jika mereka ditangkap," kata beliau.
Eddy Gordo diburu
Sementara itu Suaram turut mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi mengekang perhimpunan malam ini.
Suaram menganggap pemburuan polis terhadap aktivis sosial, Mohd Zul Raidy Ahmad Tarmizi atau Eddy Gordo yang dikaitkan dengan himpunan 31 Disember sebagai satu penindasan.
"Berdasarkan maklumat daripada keluarga dan rakan kepada Eddy, pihak polis menjalankan siasatan ke atas aktivis tersebut di bawah peruntukan 124D Kanun Keseksaan yang dibaca sekali dengan SOSMA.
“Aktivis berkenaan yang menjalankan perniagaan percetakan dikatakan mencetak kemeja-t yang berbaur hasutan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.
"Abang kepada Eddy memaklumkan kepada pihak Suaram, sepasukan 10 orang anggota polis daripada IPD Taiping telah datang ke rumah keluarganya pada 30 Disember jam 9.30 malam untuk menahan adiknya. Bagaimanapun, aktivis berkenaan tidak ada di rumah," kata kenyataan Suaram semalam.
Suaram mendesak polis agar segera menghentikan sebarang intimidasi terhadap himpunan ini dan mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan Sosma dalam hal ini.
"SUARAM berpendirian tidak ada asas yang kukuh untuk pihak polis mengambil langkah ofensif terhadap himpunan ini.
“Tindakan Polis ini dilihat seperti cuba mengalihkan isu sebenar yang ingin diutarakan rakyat iaitu tuntutan agar Kerajaan Malaysia segera menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat," katanya lagi.
