Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menerima 27 bantahan awam dan maklum balas berkaitan dengan cadangan pembangunan, termasuk sistem kereta kabel di Bukit Bendera.
Maklum balas diterima dari beberapa pertubuhan dan individu selepas pengumuman Pelan Kawasan Khas Bukit Bendera (SAP) pada 14 November, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ini selepas kerajaan negeri, dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri serta Perbadanan Bukit Bendera melaksanakan program publisiti selama sebulan dan menjemput penyertaan orang ramai berhubung SAP itu, yang berakhir pada 10 Disember.
Ditanya mengenai bantahan dan maklum balas tersebut, Guan Eng enggan berkata, tidak sesuai untuk mengumumkan pada peringkat ini.
Selepas berdekad tiada pembangunan dilaksanakan di Bukit Bendera, tempat tumpuan pelancongan itu bakal menyaksikan pelaksanaan projek-projek baru termasuk sistem kereta kabel bernilai RM270 juta.
Pada tahun 1980-an, terdapat juga cadangan untuk pembangunan besar-besaran di Bukit Bendera tetapi ia telah digugurkan, dan ia menyumbang kepada kejatuhan bekas Ketua Menteri, Tun Lim Chong Eu pada tahun 1990.
Chong Eu digantikan oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon selama 18 tahun, sebelum Guan Eng mengambil alih kepimpinan pada tahun 2008.
Lim kemudiannya mengumumkan pelantikan sebuah jawatankuasa penyiasatan awam mengenai draf SAP untuk melihat semua maklum balas.
"Jawatankuasa ini dibentuk berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 14 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (atau Akta 172)," kata Guan Eng dalam satu sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan mendengar, menilai dan mengkaji maklum balas dan cadangan daripada orang ramai berhubung draf tersebut," katanya.
