Biro pendidikan Pemuda Umno mendesak pihak yang telah mengugut keselamatan seorang guru beragama Islam serta mendesaknya untuk membuka tudung supaya meminta maaf kepada semua umat Islam dalam masa 24 jam.
Jika tidak, pihak kementerian wajar memecat guru besar sekolah berkenaan, kata Ahli Exco Pemuda Umno dan pengerusi biro tersebut, Mohd Rafiq Naizamohideen.
"Kita beri 24 jam kepada pihak terlibat, iaitu (pegawai badan pengurus sekolah) supaya tampil meminta maaf kepada semua umat Islam.
"Kalau tidak, kita tuntut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil tindakan tegas dan memecat pihak yang terbabit.
"Kita minta minta guru besar diambil tindakan dan dipecat kerana dia tak layak jadi guru besar jika tidak faham sensitiviti umat Islam," katanya di sidang media di Ampang hari ini.
Mohd Rafiq juga mempersoalkan mengapa kedua-dua menteri pendidikan tersebut masih belum menyelar tindakan menghalang guru memakai tudung.
Beliau merujuk kepada laporan yang diterima biro pendidikan dari Pemuda Umno Johor yang menyatakan bahawa seorang guru beragama Islam diarahkan membuka tudung jika ingin terus mengajar di SJKC Nan Ya di Kota Tinggi.
Menurutmya lagi, Pemuda Johor telah berjumpa dengan pihak sekolah yang menjelaskan insiden itu merupakan satu "salah faham" dan berjanji ia tidak akan berulang.
"Ini semua jawapan stereotaip," kata Mohd Rafiq.
Pemuda Johor juga telah berjumpa dengan pejabat pendidikan daerah dan diberitahu bahawa guru tersebut telah dipindahkan ke sekolah lain atas alasan keselamatan.
Menurut laporan Utusan Malaysia pada 13 Januari lalu, polis telah juga menerima laporan polis berkenaan ugutan tersebut.
Apabila dihubungi Malaysiakini, pihak sekolah enggan mengulas perkara tersebut.
Mohd Rafiq berkata insiden di Kota Tinggi itu merupakan rentetan insiden "penghinaan Islam" di mana agama tersebut "sering diperkotak-katikkan kebelakangan ini".
"Undang-undang sedia ada untuk larang penghinaan terhadap agama Islam tapi hairan isu seperti Paderi Lawrence Andrew tiada tindakan diambil. Apa masalah?
"Kita khuatir ada penimbangan politik... khuatir kita hendak jaga pihak lain supaya tak kecil hati supaya (penganut) Kristian tak marah pada kerajaan.
"Jika benar, kita akan hilang sokongan dari kedua-dua pihak, sebab orang Islam marah tindakan tak diambil bila ada menghina Islam," katanya.
Paderi Lawrence merupakan ketua pengarang mingguan Katolik The Herald, yang disiasat di bawah Akta Hasutan kerana berkata pihak Kristian akan terus menggunakan kalimah 'Allah'.
The Herald sedang merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalangnya menggunakan kalimah tersebut.
