Isu artis diarahkan membuka tudung kian berlarutan apabila syarikat pembinaan Castmet bakal terus berdepan dengan tekanan dari sekeliling.
Satu laporan polis yang diperoleh Malaysiakini hari ini menunjukkan kebimbangan mereka dengan dakwaan beberapa pertubuhan bakal melakukan tunjuk perasaan dan menyalahkan Castmet berkenaan isu itu.
Laporan polis yang dibuat Isnin lalu oleh seorang eksekutif pentadbiran syarikat itu menyatakan PERKASA akan melakukan satu demonstrasi di hadapan bangunan pejabat Castmet selepas solat Jumaat 24 Januari depan.
Laporan yang dibuat pada jam 7.05 malam di balai polis Taman Tun Dr Ismail itu menyebut makluman perkara itu diperoleh dari seseorang yang tidak dikenali.
Sementara itu seorang pemimpin kanan PERKASA ketika dihubungi tidak mahu memberi komen berkenaan demonstrasi tersebut.
Castmet hari ini menjelaskan penyanyi bertudung Marinatasha Isnariah Mustapar tidak sesuai membuat persembahan dalam majlisnya yang mengkehendakinya berinteraksi dan bercampur dengan tetamu.
Pengarah kewangannya Yong Pey Ling berkata Castmet sepakat menggantikan Marinatasha dengan seorang penyanyi lain.
Marinatasha dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, dengan sebak, mendakwa diarah menghentikan persembahan dalam majlis itu dan diminta turun pentas dan dimarahi kerana bertudung.
Beliau membuat laporan polis di balai polis Sentul pada Ahad lalu dan mendakwa didiskrisminasi.
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) juga dalam sidang media bersama Marinatasha menuntut Castmet memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.