BERITA Malaysiakini

Penyanyi bertudung tolak alasan syarikat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penyanyi Marinatasha Isnariah Mustafar tetap dengan pendirian beliau didiskriminasikan kerana bertudung oleh seorang pegawai syarikat Castmet Sdn Bhd.

Beliau hari ini menolak kenyataan pengarah Urusan Castmet, Tan Keh Wah dan pengarah kewangan syarikat itu Yong Pey Ling bahawa beliau tidak sesuai dalam majlis itu kerana itu bukan isu utama.

"Isunya adalah perkataan dan tindakan rasis yang diperbuat oleh pengarah kewangannya, Yong terhadap saya, iaitu menyatakan bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana saya bertudung.

"Ini adalah satu diskrimasi jika dilihat dalam apa keadaan sekalipun," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Marinatasha mendakwa beliau diarah turun dari pentas oleh Yong ketika mahu melakukan persembahan pada majlis makan malam tahunan Castmet Sabtu lalu.

Beliau mempersoalkan kenapa alasan-alasan itu hanya dibangkitkan selepas sidang akhbar bersama Karyawan Isnin lalu tanpa sebarang pertemuan dengan pihak beliau sendiri.

"Saya melihat jawapan yang diberikan kepada media adalah untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

“Ironisnya mereka sanggup membenarkan saya membuat persembahan jika saya tidak bertudung," katanya.

Beliau juga mendakwa alasan yang diberikan Tan saling bercanggah dengan kenyataan syarikat pengurusan acara Red on Black.

Pegawai Red on Black Mohd Salih Toha berkata ia isu peribadi antara Marinatasha dan Yong kerana walaupun Castmet meminta mereka membekalkan artis untuk acara itu, rundingan akhirnya dibuat secara terus.