Polemik Kalimah Allah tidak akan dapat diselesaikan menerusi perdebatan, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana ia amat bersangkutan dengan perkara-perkara yang melibatkan isu teologi yang akan mengundang sensitiviti masyarakat.
Beliau merujuk kepada penganjuran “Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Undang-Undang” yang merupakan Wacana Sinar Siri 26 yang akan diadakan pada 27 Januari 2014.
Perdebatan itu dirancangkan antara Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dengan ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam.
Susulan itu, katanya, ABIM telah menyerahkan surat kepada pihak akhbar Sinar Harian untuk menyarankan agar penganjuran debat tersebut dibatalkan.
"Isu-isu agama yang melingkari masyarakat seperti ini harus diselesaikan menerusi perbincangan yang melibatkan kumpulan ilmuan yang sentiasa
berlapang dada dan mengambil pendekatan bersederhana dari kelompok kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, tegasnya, ABIM menilai perdebatan yang melibatkan dua tokoh politik tersebut tidak akan memberi sebarang jalan penyelesaian bahkan bertambah buruk apabila isu ini yang asalnya bersifat teologi secara langsung diheret kepada perkara lain yang lebih sensitif yang melibatkan perundangan dan institusi Raja.
Dalam pada itu, tambahnya, penganjuran perdebatan tersebut juga boleh dianggap perjudis kerana ia masih belum lagi didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.
"ABIM juga menyeru semua pihak khususnya media untuk mengenengahkan pandangan sederhana dan bersifat ilmiah khususnya dari kelompok agamawan Islam dan Kristian yang merupakan “silent majority” bagi memastikan polemik ini dapat disejukkan," tambahnya.
