Kenaikan harga barang disebabkan kuasa pasaran dan "kita tidak boleh menghalang keadaan" itu serta menuntut bagaimana sikap orang Melayu berdepan dengan situasi itu, kata Profesor Diraja Ungku Aziz.
Dalam temubualnya dalam Mingguan Malaysia hari ini, tokoh akademik itu juga berkata orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang.
"Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang... Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan.
"Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.
"Sebab itu saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji," katanya bagi menjawab soalan berhubung pandangannya mengenai isu kenaikan harga barang ketika ini.
Menurut bekas naib canselor Universiti Malaya itu lagi, institusi itu sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa panjang.
'Berapa lama tahan beri subsidi?'
Sementara itu, dalam temubualnya dengan Berita Minggu hari ini, Ungku Aziz bersetuju dengan tindakan kerajaan yang menarik subsidi gula demi kebaikan pada kesihatan.
"Soalnya ia berapa lama kerajaan boleh bertahan kalau terlalu banyak bagi subsidi. Kalau boleh bertahan, tak apalah, tetapi isunya berapa lama boleh bertahan.
"Kerajaan sudah kurangkan subsidi sebab terlalu berat ditanggung kerajaan. Kalau ada pun, mesti bantu dengan fokus kepada golongan yang betul-betul layak dan memerlukan.
"Bagi saya kalau kerajaan tarik subsidi gula, itu memang bagus untuk kesihatan," katanya bagi mengulas kewajaran kerajaan menarik beberapa subsidi.
