Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tragedi Lembah Bertam tahun lepas melakar sejarah hitam bagi masyarakat Cina terutama di kawasan tragedi namun mereka berharap kehadiran Tahun Kuda membuka lembaran baru hidup mereka.  

    

Kenangan pahit dalam tragedi banjir kilat yang mengorbankan empat nyawa, merosakkan 80 buah rumah serta 100 kenderaan pada awal pagi 23 Oktober 2013 menjadikan Tahun Ular begitu malang untuk mereka.  

    

Mereka berharap kehadiran Tahun Kuda mengikut Kalendar Lunar yang bakal disambut ini akan mengikis kenangan ngeri yang pastinya terlalu sukar untuk dipadamkan dalam kenangan.

    

Walaupun terdapat ramalan Tahun Kuda akan penuh dengan cabaran namun mereka berharap dapat mengumpul semula kekuatan untuk membina kehidupan sebagaimana kekuatan dan kegagahan seekor kuda.

    

Tinjauan Bernama di Lembah Bertam mendapati beberapa keluarga mula memberi tumpuan ke arah persediaan sambutan Tahun Baru Cina (TBC), esok dengan membersih dan mengecat rumah mereka yang sebelum ini kehilangan seri akibat limpahan lumpur banjir itu.

 

Menghiasi rumah

    

Mereka juga membakar kuih raya serta mula menghias halaman rumah dengan pokok-pokok limau serta menanam pokok bunga.

    

Lim Keow Luan, 44, bersama-sama dua anaknya adalah antara penduduk yang sibuk membuat persiapan ketibaan Tahun Kuda.

    

Surirumah itu hampir selesai mengecat rumah dengan warna merah jambu manakala suaminya, seorang pengusaha ladang sayur membaik pulih kaki lima rumah mereka yang terjejas akibat tragedi pukul 1.00 pagi itu.

    

"Rumah saya antara empat buah rumah yang tidak terjejas teruk dalam tragedi menakutkan itu. Tidak lama lagi Tahun Baru Cina, jadi sekarang perlu bersihkan dan cat rumah," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Surirumah yang telah menyediakan beberapa jenis makanan seperti kerepek ubi Ngaku dan kuih moden itu turut meminjamkan ketuhar kepada jirannya yang mahu membuat persiapan sambutan itu.

    

Persiapan sambut tahun kuda

    

"Ada antara kami yang meminjamkan peralatan membuat kuih kepada jiran yang rumah mereka tenggelam semasa banjir," katanya.

    

Chan Choo Yong, 54, pula berkata beliau hanya membuat persiapan ringkas bagi menyambut Tahun Kuda.

    

Wang bantuan ihsan yang diterima keluarganya sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

    

"Duit bantuan itu kita beli peralatan rumah bagi menggantikan peralatan yang musnah. Kerja membersihkan rumah pula ambil masa panjang, sebab lumpur tebal melekat di dinding. Kita seperti memulakan hidup baru," katanya.

    

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bertam, Wong Fook Chai berkata keadaan penempatan masyarakat di situ yang terjejas mulai pulih dan penduduk masih melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

    

"Setiap keluarga masih bersihkan kawasan rumah mereka, ada yang saling bantu-membantu. Bagaimanapun semua masalah mengenai penempatan mereka telah diselesaikan," katanya.

Sambut bersama MCA, JKKK    

    

Wong berkata masyarakat Lembah Bertam yang terdiri hampir 95 peratus dari kaum Cina akan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina pada 31 Jan ini dengan kerjasama parti MCA dan JKKK Lembah Bertam.

    

Sambutan itu pastinya amat bermakna kerana masyarakat Lembah Bertam tidak sendirian meraikan Tahun Baru Cina.

    

Sebelum ini pelbagai pihak menghulurkan sumbangan dan yang terbaru sebanyak 99 orang yang mewakili keluarga yang terjejas dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,700.

    

Bantuan itu disalurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang yang dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu.

    

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lembah Bertam yang turut terjejas dalam tragedi itu beroperasi seperti biasa pada sesi persekolahan tahun ini meskipun dalam serba kekurangan.

    

Banyak kerusi dan meja rosak pada tragedi itu namun ia tidak mematahkan semangat para pelajar untuk terus menimba ilmu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS