Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis terima lebih 40 aduan video Teresa Kok

Polis menerima lebih 40 laporan berhubung isu klip video berbaur sindiran yang didakwa melibatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    

Beliau berkata siasatan terperinci video sempena Tahun Baharu Cina yang tersebar luas dalam Youtube sejak Isnin lepas itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    

"Ini adalah bidangkuasa SKMM, jika hasil siasatan itu mendapati ada isu melibatkan Akta Hasutan, tindakan mahkamah akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bolasepak PBAPP FC menentang PDRM di Stadium Bandaraya, di George Town malam tadi.

Beliau meminta masyarakat, tanpa mengira fahaman politik, tidak memainkan isu melibatkan sensitiviti agama sehingga menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    

Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Kok dikatakan 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baru Cina tahun ini dan tetamu undangannya pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya ialah sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

    

Mengenai kes seorang anggota polis cawangan khas mati ditembak di Bukit Persekutuan Kuala Lumpur petang ini, Ahmad Zahid berkata siasatan awal mendapati insiden itu tiada kaitan dengan dengan kumpulan kongsi gelap.

    

"Kami tidak dapat umumkan status kes itu kerana siasatan sedang dijalankan...saya masih menunggu laporan rasmi dari PDRM," katanya.

    

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, seorang Lans Koperal ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

    

Anggota berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

    

- Bernama

ADS