Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Perhutanan Kedah mengesahkan tidak pernah meluluskan sebarang tender baharu bagi aktiviti pembalakan sejak pentadbiran kerajaan negeri diambil alih BN tahun lepas.

    

Pengarahnya Ku Azmi Ku Aman berkata kelulusan lesen pembalakan mengambil masa sehingga satu setengah tahun bagi membolehkan kerja-kerja mengeluarkan balak dilakukan.

    

Beliau berkata jabatannya memerlukan tempoh masa yang agak lama bagi mengenal pasti kawasan pembalakan serta menanda pokok balak yang matang sahaja untuk ditebang.

    

Katanya pihaknya tidak boleh menyekat pengeluaran lesen kepada syarikat pembalakan selepas tender diluluskan dan akan memastikan syarikat terbabit mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

    

"Kelulusan aktiviti penebangan balak (sekarang) adalah kelulusan kerajaan terdahulu selepas proses kelulusan dibuat selama satu setengah tahun," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.

Ku Azmi mengulas mengenai aktiviti pembalakan di daerah Padang Terap baru-baru ini. Lesen yang diberikan kepada pihak syarikat pembalakan itu dimohon ketika pemerintahan PAS.

    

Katanya terdapat kira-kira 300,000 hektar kawasan hutan simpan di negeri ini dan aktiviti pengeluaran balak hanya membabitkan kawasan seluas 2,800 hektar sahaja iaitu di Padang Terap dan Sik.

    

Beliau berkata kira-kira 80 peratus hutan di negeri ini yang ada aktiviti pembalakan merupakan kawasan hutan terpilih dan pokok balak ditanam semula selepas proses penebangan dibuat sejak 30 tahun lalu.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS