Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peras ugut: Tiga polis bantuan didenda RM1,000

Tiga anggota polis bantuan hari ini masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap seorang anggota Tentera Darat Ahad lepas.

    

Majistret Saifulakmal Said turut memerintahkan Zulkifli Mat Amin, 31, Zuhairi Zuber, 28, dan Fairuz Ezwan Mohammad, 27, menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Saifulakmal berkata mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kepada semua tertuduh kerana ia kesalahan pertama dan mahu memberi peluang kepada mereka.

"Masyarakat meletakkan kepercayaan kepada kamu sebagai polis bantuan untuk menjaga keselamatan awam tetapi kamu sebaliknya telah melakukan peras ugut. Ini bukan caranya," katanya sambil memberi peringatan supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

    

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Mohd Asuwan Hussin, 24, sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM400 kepada Zuhairi di sebuah hotel di Jalan Pudu Lama, pada 5 pagi 2 Februari lepas.

    

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

    

Mengikut fakta kes, semasa Mohd Asuwan berada di dalam bilik hotel bersama rakannya, beliau didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis.

    

Tiga lelaki itu menyatakan Asuwan berhutang dengan seorang lelaki dikenali sebagai Rashid sebanyak RM2,000, sedangkan Asuwan tidak mengenali lelaki itu.

    

Mereka tidak mempercayainya dan meminta wang pendahuluan sebanyak RM500 daripada Asuwan untuk melunaskan hutang itu Asuwan menyatakan beliau hanya mempunyai RM400 dan mereka mengambilnya.

    

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Chif Inspektor Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap setiap tertuduh, namun peguam Chew Zi Xin yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ringan kerana semua anak guamnya sudah insaf dan mengaku bersalah.

    

Di Kuantan, seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini terhadap dua pertuduhan menerima rasuah daripada warga asing, dua tahun lepas.

    

Lans Kpl Mohd Azreey Ramlan, 27, yang bertugas di Pondok Polis Sri Makmur, Pekan didakwa menerima suapan RM300 daripada seorang warga Indonesia Herman Sandika.

    

Suapan itu kononnya sebagai ganjaran kerana memberi maklumat awal berhubung operasi polis dan Jabatan Imigresen kepada Herman dan sembilan rakannya yang tidak mempunyai permit kerja yang sah di rumah kongsi tidak bernombor di Kampung Belimbing, Pekan, pada 4 petang, 30 November 2011.

    

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM300 daripada individu yang sama pada 7.50 malam pada hari dan tempat yang sama.  

    

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa  hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan..

    

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 19 Februari bagi sebutan semula kes.

    

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shafinaz Shabudin.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS