Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebut sahaja Kajang, tidak dapat tidak, perkara pertama yang datang ke fikiran ialah 'sate'.

Bagi mereka yang berjiwa sastera, mungkin teringatkan pantun yang diungkapkan bintang filem Nordin Ahmad dalam filem Melayu klasik Sri Mersing yang berbunyi "Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu."

Bukan sekadar pantun dan sate, Kajang yang terletak di daerah Hulu Langat, di bahagian timur Selangor kini menjadi tumpuan ramai kerana pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 23 Mac depan.

PRK ini menjadi bertambah hangat apabila ketua pembangkang yang juga ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu.

Kekosongan kerusi DUN Kajang berlaku apabila ADUN daripada PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Jan.

Sehingga artikel ini ditulis, Barisan Nasional (BN) serta parti lain masih belum mengumumkan calon mereka.

   

Lokasi strategik

   

Bandar Kajang meliputi kawasan seluas 787.6 kilometer persegi dihuni sejumlah 311,000 orang. Dengan pengundi berdaftar terdiri 48.5 peratus Melayu (19,050 orang), 40.28 peratus Cina (15,823), 10.29 peratus India (4,040), 0.52 peratus lain-lain (203), 0.2 peratus bumiputera Sabah (78), 0.19 peratus bumiputera Sarawak (74) dan 0.03 peratus Orang Asli (10 orang), Kajang pastinya satu kawasan menarik, melangkaui sate dan kuah kacang yang popular di sini.

Kedudukan bandar ini agak strategik iaitu antara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Nilai. Ia menjadi titik pertemuan beberapa lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Putrajaya dan Kajang Silk.

Pada 2017, Kajang akan menempatkan stesen terakhir kereta api MRT (Transit Laju Massa) yang akan menjadikan akses kepada bandar ini lebih mudah.

Berbanding tempoh 20 hingga 30 tahun lalu di mana Kajang hanyalah sebuah pekan kecil, ia kini sudah berkembang menjadi pusat perniagaan yang semakin penting.

Banyak kedai serta kemudahan boleh didapati di bandar ini menjadikan saban hari bandar ini penuh sesak dengan kenderaan serta pengunjung yang datang dari luar Kajang.

Pertumbuhan pesat bandar ini boleh dilihat dengan pembukaan taman perumahan baharu, antaranya Saujana Impian, Prima Saujana dan Sutera Residence.

Pesat membangun

   

Nama Kajang juga terus kekal digunakan dan kawasan tumpuan baharu dikenali dengan nama seperti 'Kajang 2' dan 'Kajang 3' bagi membezakan kawasan berkenaan.

Peniaga Ekuiti, Najuuwa Sabli, 33, yang membesar di Kajang memberitahu Bernama, beliau telah melihat begitu banyak pembangunan di kampung halamannya.

"Memang semasa saya membesar, Kajang tak ubah seperti pekan koboi. Bangunan paling hebat masa itu ialah Metro Kajang. Ada sebuah sahaja pasar iaitu pasar Kajang tetapi sekarang kita ada dua pasar raya iaitu Tesco dan Giant.

"Sekarang juga ada banyak sekolah, pelbagai jenis. Ada sekolah agama, sekolah antarabangsa.

"Bagi saya yang pembangunan yang terbaik ialah lebuh raya. Ini memudahkan saya untuk berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur di samping menziarahi mentua saya di Seremban," kata Najuuwa yang memiliki dua buah rumah di Kajang.

Meskipun pesat membangun, orang ramai termasuk warga kota masih boleh menikmati keindahan semula jadi yang dikekalkan di bandar ini termasuk air terjun di pusat rekreasi Sungai Tekala dan Sungai Gabai.

Tarikan lain

   

Terdapat beberapa tarikan lain di Kajang seperti Ladang Burung Unta yang terletak di Sungai Lalang, Semenyih, iaitu kira-kira lapan kilometer ke timur laut bandar ini.

Untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak mendaki bukit, Bukit Broga mungkin menjadi destinasi pilihan.

Lokasi menarik lain termasuk Nirvana Memorial Park, Semenyih iaitu taman perkuburan swasta yang dikatakan terbesar dunia.

Di Kajang juga terdapat sebuah masjid yang bersejarah iaitu Masjid Jamek yang berusia 50 tahun.

Mungkin kepesatan pembangunan bandar ini yang menambat hati Anwar untuk bertanding kerusi DUN Kajang.

Apa pun, kuasa memilih terletak di tangan kira-kira 39,278 pengundi berdaftar termasuk 1,223 pengundi pos untuk memilih wakil mereka bagi kerusi DUN Selangor itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS