Di sebalik kepesatan pembangunan Pulau Pinang yang terkenal dengan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, terdapat sebuah perkampungan di atas kawasan paya tanpa sistem pembuangan sampah yang sempurna.
Kawasan perkampungan di Jalan Kota Giam, Jelutong yang terletak di tengah-tengah bandar George Town itu dihuni 40 keluarga daripada kalangan berpendapatan rendah.
Mengikut sejarah, Jalan Kota Giam dahulunya merupakan kawasan perkampungan nelayan serta pernah menjadi tempat persinggahan kapal dan tongkang pedagang sebelum bertukar menjadi paya cetek lebih 40 tahun lepas.
Nama kawasan itu dikatakan diambil sempena sejenis pokok dikenali sebagai Giam yang diguna untuk membuat tongkang dan sampan.
Seorang penduduk, Fatimah Johara, 66, berkata dia tiada pilihan dan terpaksa berpuas hati tinggal di rumah papan di kelilingi paya berlumpur serta terpaksa berdepan dengan kewujudan puluhan ekor biawak yang kadangkala memanjat masuk ke dalam rumahnya.
"Siapa tak nak rumah lebih selesa tapi kami tidak mampu, kerja mami buat nasi lemak dan letak di kedai sahaja. Anak-anak memang ada tapi depa (mereka) pun ada keluarga dan tanggungjawab sendiri," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ekoran sistem pembuangan sampah dan saluran air tidak sempurna, kawasan itu turut menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan vektor seperti tikus.
Tukang jahit, Mohd Hafiz Meera Maidin, 30, berkata dia telah tinggal di kawasan berkenaan sejak lahir dan lali dengan keadaan persekitaran yang mencabar deria bau itu.
"Status tanah di sini adalah tanah TOL (lesen pendudukan sementara), kami bayar cukai pintu setiap enam bulan sekali," katanya.
Harapannya agar pihak berwajib dapat menaik taraf kawasan perumahan berkenaan menjadi perkampungan tersusun serta lebih selesa untuk pembesaran kanak-kanak.
Khairil Anuar Kamaruddin, 32, berkata sesekali apabila air pasang dan musim tengkujuh tiba, kawasan rumahnya serta rumah jiran yang lain yang dibina agak rendah dinaiki air.
Bapa kepada tiga anak berusia antara tiga dan 11 tahun itu, berkata penduduk di kawasan itu bergotong royong membaiki laluan masuk ke kawasan perumahan mereka yang dibina dengan kayu selain ada penduduk mengambil inisiatif sendiri meninggikan tiang rumah masing-masing untuk mengelak banjir.
"Air memang jarang naik tapi bila sekali datang jenuh juga nak mencuci rumah kerana segala lumpur dan sampah sarap pun masuk sekali," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata penempatan seumpama 'kampung air' itu mempunyai nilai sejarah tersendiri dan berpotensi dibangunkan menjadi kampung warisan.
Beliau berkata kerajaan negeri seharusnya mengambil langkah agresif memulihara kawasan sedemikian seterusnya membela kebajikan penduduk miskin bandar yang seolah-olah terperangkap di tengah-tengah arus pembangunan itu.
- Bernama
