Kebakaran hutan paya gambut membabitkan kawasan seluas 388 hektar di sekitar Kampung Tok Kah di Dungun sejak 20 hari lalu menimbulkan keresahanan penduduk di tiga buah lagi kampung berhampiran.
Tiga kampung tersebut ialah Kampung Bahagia, Kampung Mahsuri dan Felcra Bukit Murai.
Menurut seorang penduduk Zakaria Salleh, 70, kebakaran yang melanda kawasan itu menyebabkan tidur mereka sering dilanda resah ekoran bimbang kebakaran itu semakin merebak.
Katanya biarpun kebakaran yang melanda itu agak teruk bagaimanapun keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan tanaman kelapa sawit penduduk tempatan.
"Kebakaran kali ini agak teruk dan lebih dua minggu terutamanya waktu malam mereka terpaksa meredah asap akibat kebakaran namun saya bersyukur tiada insiden lebih teruk yang melanda kampung terbabit.
"Saya akui tidur kami pun tidak lena kerana bimbang api akan merebak menghampiri kediaman selain rutin harian juga sedikit terjejas untuk ke ladang kerana kebakaran itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Zakaria berkata insiden kebakaran hutan ini merupakan kali kedua terburuk selepas tahun 2002.
Sementara itu, Komandan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Nor Azizi Che Noh berkata sehingga ini pihaknya masih giat menjalankan operasi memadam baki 37 hektar hutan paya gambut yang terbakat sejak 26 Jan lepas.
"Kebakaran yang melibatkan empat buah kampung ini melibatkan keluasan kira-kira 388 hektar dan telah sampai ke kaki Bukit Gadut di Dungun.
"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tidak merebak ke penempatan penduduk," katanya.
Azizi berkata sebelum ini pihaknya berjaya memadamkan sebanyak 361 hektar kawasan terbakar, bagaimanapun keluasan itu mencatatkan sedikit peningkatan ekoran kawasan yang telah berjaya dipadamkan terbakar semula.
Katanya, pihak bomba yang berusaha memadam dan mengawal kebakaran itu berdepan beberapa kekangan akibat faktor cuaca panas terik dan tiupan angin kencang yang memburukkan keadaan.
"Kita berjaya memadam kebakaran di kawasan seluas 342 hektar setakat ini, sejak kebakaran hutan itu dilaporkan bermula 26 Jan melibatkan kawasan seluas 16 hektar.
"Keluasan kawasan terbakar iaitu 380 hektar itu diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia semalam," katanya kepada Bernama semalam.
Katanya struktur tanah gambut yang mudah terbakar serta ketiadaan punca air dan akses jalan yang berdekatan menyebabkan operasi memadam kebakaran itu mengambil masa panjang.
Nor Azizi berkata walaupun bandar Dungun dilanda hujan pagi ini namun ia tidak meliputi kawasan kebakaran itu.
Semalam, 78 anggota bomba dari Kemaman, Dungun, Kuala Berang, Kuala Terengganu dan Marang termasuk 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Dungun terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu yang disifatkan terburuk di Terengganu.
Beliau berkata memburukkan keadaan apabila terdapat kawasan yang berjaya dipadam, terbakar semula apabila pokok dan daun kering terkena bara api yang berterbangan akibat tiupan angin.
Justeru beliau meminta semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka ketika ini dan mana-mana pihak yang melakukannya boleh didenda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
- Bernama
