Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah senyap untuk beberapa ketika, pemikir kontroversi Dr Kassim Ahmad muncu lpada usia 80 tahun dengan ideanya untuk menentukan hala tuju negara untuk tiga puluh tahun akan datang.

Beliau, bekas ketua Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) sebelum memasuki Umno, kini hadir mengajak Rakyat Malaysia dan parti politik kembali kepada Islam sebenar.

Bagaimanapun idea beliau tetap kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama.

"Kasta paderi ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat Khalifah ar-Rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.

"Mereka (umat Islam) mendewa-dewakan pemimpin agama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka," kata beliau ketika memberi ucapan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya hari ini.

Kassim turut membentangkan beberapa lagi kesalahan umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita.

Beliau berhujah berdasarkan tafsiran terhadap ayat pertama dalam surah al-Munafiqun.

Sementara itu, berkaitan aurat, Kassim berkata ia bukan aurat kerana ia anggota biasa seperti muka dan tangan yang perlu digunakan untuk mengambil wuduk.

Tiga puluh tahun dahulu, katanya, wanita Islam tidak memakai tudung, sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”.

Kassim yang berdepan tuduhan anti-hadis – tuduhan yang dinafikannya – turut mengajak agar al-Quran diletakkan sebagai sumber tertinggi agama dan ditafsir kembali bagi menyesuaikan kepada keadaan semasa.

"Saya pernah cakap yang al Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama ialah menggunakan Hadis untuk menjelaskan al Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah," kata beliau.

Kecewa Nurul Izzah tak hadir

Sementara itu aktivis seni Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah yang turut sama mengulas mahu pihak akademik dan ulama mengadakan perbincangan dengan Kassim.

Beliau berkata walaupun idea Kassim boleh difahami, penggunaan beberapa perkataan seperti “kasta pederi” mungkin tidak dapat diterima golongan tertentu kerana ia provokatif dan seolah berlawanan dengan tatasusila lembut masyarakat Melayu.

Raja Aminullah turut meluahkan rasa kecewa dengan ketidakhadiran beberapa panel seperti Naib President PKR Nurul Izzah Anwar yang tidak hadir pada saat terakhir.

"Ahli politik anggap kegiatan seni budaya pada umumnya marginal dan peripheral, suka hati sama ada mahu datang atau tidak," kata beliau sebelum mengulas bahawa mereka mungkin "mahu mengelak kontroversi".

Seminar dua hari bermula semalam itu diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana dan dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

ADS