Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan bahawa beliau tidak mengeluarkan arahan tindakan tatatertib terhadap guru yang membantah perlaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau yang juga menteri pelajaran menegaskan arahan tersebut dibuat oleh pejabat pendidikan daerah dan beliau kurang jelas mengapa hukuman tersebut dikeluarkan.

"Saya tidak keluarkan apa-apa arahan atau mengambil tindakan. Kalau adapun ia daripada pentadbiran daerah (pejabat pendidikan daerah).

"Saya tak tahu sebab musabab atau ada fakta lain atau hanya atas sebab mereka menyuarakan ketidakpuasanhati tentang PBS," katanya.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung nasib guru anti-PBS selepas sistem pembelajaran itu ditangguhkan, dalam sidang medianya hari di Kajang.

Dilaporkan Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) Mohd Nor Izzat Mohd Johari mendakwa beliau ditukarkan tempat bertugas serta-merta "tanpa sebab munasabah" melalui surat pertukaran bertarikh 17 Februari.

TPM ulangi pendirian

Guru matapelajaran Pendidikan Seni Visual yang mengajar di Jerantut itu berkata, beliau menerima surat tersebut empat hari kemudiannya, yang ditandatangani pengarah jabatan pendidikan daerah itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengulangi pendirian bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang berusaha menangani masalah pada sistem itu tanpa berniat menganiaya atau menghalang sesiapa pun untuk bersuara mengenai perkara itu.

"Saya dah buat keputusan, semalam pun media sudah laporkan pendirian saya dan KPM (sedang) menangani masalah itu, kita tak menganiaya sesiapa atau bertindak zalim, tak membenarkan mereka bersuara. boleh bersuara tapi ikut undang-undang dan peraturan pekeliling.

"Bagi saya yang penting kita dalam peringkat menemukan cara baru yang diperbaiki dan kita akan umumkan setelah meneliti semua aspek," katanya.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Dr Khair Mohamad Yusof semalam berkata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat dalam masa terdekat.

Susulan itu, DAP hari ini mendesak kerajaan membatalkan tindakan tatatertib itu ekoran pengumuman tersebut.

ADS