Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

14 Februari 2014

Sejak meninggalkan bumi Iran pada tahun 1978. Saya tidak pernah kembali ke sana lagi walaupun Iran adalah negara luar kedua paling panjang saya menetap, selepas Mesir.

Di Mesir saya tinggal hampir tujuh tahun lamanya kerana menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar.

Tetapi saya berpeluang beberapa kali menziarahi semula bumi anbiya tersebut.

Untuk Iran inilah pertama kali saya menziarahinya semula setelah menetap di sana dari 1975-1978.

Ayah saya waktu itu bertugas atas misi negara sebagai duta besar di sana dan saya mengikutinya pada umur 11 tahun.

Tersungkurnya Shah

Iran waktu itu bukan Iran sekarang kerana namanya sahaja sudah pun menjadi Islamic Republic of Iran dan bukan lagi The Royal Kingdom of Iran .

Iran sebelum revolusi terkenal dengan rajanya yang menggelar dirinya sebagai “Shahanshah Aryamerh” yang membawa konotasi raja kepada segala raja Aryan.

Ia sebagai kebanggaan bahawa baginda adalah dari keturunan mulia.

Malangnya kebongkakan Shah Iran terungkai apabila ia dibuang oleh rakyatnya sendiri dalam satu revolusi terhebat abad ke-20 yang dikenali sebagai The Islamic Revolution of Iran pada tahun 1979.

Keseluruhan perjalanan sejarah Iran berubah dan Iran menjadi satu-satunya negara Islam yang berani mencabar hegemoni kuasa besar Amerika dan sekutunya.

Ia malah tersenarai salah satu daripada tiga negara dalam senarai Amerika sebagai negara 'bahaya' yang mana selebihnya ialah Korea Utara dan Cuba.

Keberanian Iran mempertahankan program nuklearnya dibayar dengan harga yang mahal apabila dikenakan sekatan ekonomi sejak dari tahun 90-an, walaupun hingga ke tahap ini Iran masih lagi bertahan dan terpaksa bergantung kepada sumber utamanya dari minyak melalui pasaran gelap yang tinggi permintaannya.

'Mustakbirin Amerika'

Ayatullah Ruhollah Khomeini adalah figura yang telah mengubah persepsi dunia terhadap kemampuan Islam muncul sebagai kuasa dunia yang disegani dalam era moden ini.

Berbekalkan semangat revolusi dan ucapannya yang mampu menggoncang jiwa yang mahukan kebebasan dari diktator Shah dan renungan matanya yang tajam menggambarkan keazaman yang tak mungkin diruntuhkan.

Khomeini ( kanan ) mencipta sejarah Iran yang baru.

Seorang ulama Syiah yang mendapat gelaran Ayatullah hanya perlu berucap dari rumah kecilnya di Perancis sebagai orang buangan dan disebarkan ucapannya melalui kaset-kaset.

Tiada isi rumah yang mendengar ucapannya tidak terkesan dan bangkit untuk menggulingkan diktator Shah.

Khomeini juga membawa Iran mempertahankan sempadannya dengan Iraq sehingga tercetus perang Iran-Iraq dekad 80-an.

Khomeini mempertahankan golongan pelajar yang menawan premis kedutaan Amerika yang anti-Iran berpanjangan sehingga beberapa bulan.

Khomeini juga mengeksport Revolusi Islamnya ke seluruh dunia Islam sehingga musim haji menjadi gelanggang mesejnya dalam menentang “Mustakbirin Amerika".

Kini tokoh agung revolusi Islam Iran terus menjadi ikon kebangkitan dan diabadikan nama lapangan terbang yang dulunya dikenali sebagai Mehrabad kepada Imam Khomeini International Airport.

Iran pascarevolusi

Asef Bayyat seorang ahli akademik berketurunan Iran yang kini berada di Amerika membuat kajian secara konseptual tentang suasana politik Iran pascarevolusi pada tahun 1996.

Antara dapatan awalnya beliau merumuskan bahawa zaman mengekalkan momentum revolusi semakin perlahan dan tekanan kepada aspek realiti pemerintahan dan persoalan ekonomi menuntut ideal dan perlaksanaan dicerakinkan.

Persoalan masa depan dari sejarah kebangkitan dan persoalan demokrasi dan prinsip Islam seolah perlu mendapat persepakatan termasuk hak kewarganegaraan dan hak asasi manusia.

Beliau menamakan tesis beliau sebagai “pasca-islamisme” yang kini diperluaskan perbahasannya kepada mengulas siri kebangkitan Arab Spring yang dipelopori antara lainnya kelompok Islamik.

Dari sudut Islam dan pemerintahan, Iran dianggap unik kerana merintis kebangkitan rakyat menentang diktator dan mengasaskan Islamic Republic pertama di dunia dalam kerangka negara bangsa.

Tuan rumah

Perjalanan saya kali ini mewakili Parlimen Malaysia ke konferensi Kesatuan Parlimen Organisasi Negara Islam (PUIC) yang dihoskan oleh Iran.

Menarik kerana Iran adalah antara negara yang aktif mempromosikan kesatuan parlimen ini dan banyak menyuarakan isu semasa umat Islam melalui platform ini.

Saya masih ingat ketika sidang di Palembang, Indonesia pada tahun 2012, ucapan speaker Dewan Iran telah mencetuskan kemarahan peserta dari negara-negara Teluk.

Speaker An-Nouri mengucapkan tahniah kepada kebangkitan Arab Spring dan berbangga bahawa Iran telah memulakan sejak 1979 menggulingkan pemerintah beraja yang diktator.

Ucapan itu amat pedih didengari oleh ahli ahli delegasi Parlimen negara-negara Teluk lalu mereka keluar dewan tanda boikot.

Saya teruja untuk menghadiri konferensi ini di Tehran kerana sejak menjadi ahli Parlimen pada tahun 2008, saya dilantik oleh speaker untuk menjadi ahli jawatankuasa ke persidangan ini.

Selain mengharapkan dapat menjalankan tugas negara dan mengharumkan nama negara, saya ada misi lain yang saya tunggu selama ini, menziarahi tempat yang saya pernah bermain, bersekolah dan membesar dari tahun 1975 hingga 1978 di Iran.


Esok (Bahagian II): Dingin malam Tehran

ADS