Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa bakal calon bebas di Kajang, Datuk Zaid Ibrahim pernah cuba melobi untuk mendapatkan tanah di Selangor sewaktu menjadi ahli PKR.
Dakwaan itu dibuatnya berdasarkan koresponden e-mel antara beliau dan Zaid (
kanan
) sekitar tahun 2010, sewaktu beliau bertugas sebagai ketua pegawai eksekutif pejabat penasihat ekonomi Selangor.
"Ia bukan apa yang anda (Zaid) laungkan, tetapi apa yang anda amalkan.
"Sebelum anda mencabar semua orang dan 'berdakwah' tentang integriti dan transformasi, jelaskan dahulu dua perkara ini," katanya merujuk kepada dua lot tanah di Petaling Jaya dan Batu.
Rafizi mendakwa beliau didatangi Zaid meminta pejabat penasihat ekonomi negeri "campurtangan" dalam dua projek yang didakwanya diusahakan oleh "rakan atau pihak yang bersabit" dengan Zaid.
Bagi projek melibatkan tanah seluas 26 ekar di Batu/Selayang, Rafizi mendakwa pada 25 Jun 2010 dalam satu emel, Zaid memohon pejabat penasihat ekonomi campur tangan melobi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim meluluskan cadangan pembangunan di tanah itu.
Ahli parlimen Pandan itu juga mendakwa Zaid ada menyebut secara lisan kepadanya supaya membantu mendapatkan dua lot tanah premium PT70 da PT71 di Petaling Jaya untuk dibangunkan.
"Saya memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami bersetuju bahawa adalah tidak menepati prosedur untuk pejabat kami membenarkan pimpinan parti melobi atau mempengaruhi keputusan kerajaan negeri, terutamanya yang bersabit dengan harta awam," kata Rafizi.
Rafizi berkata beliau kemudiannya pada 13 Julai 2010, membalas e-mel kepad Zaid dan memaklumkannya bahawa beliau perlu melakukannya mengikut tatacara yang ditetapkan untuk memajukan tanah itu.
Menurut Rafizi lagi, budaya melobi dan menggunakan kedudukan politik untuk projek itu adalah budaya Umno BN yang masih lagi diamalkan Zaid.
"Sebelum beliau terus lantang mencabar orang lain, wajarlah Datuk Zaid menjelaskan kenapa beliau kekal dengan budaya Umno BN setelah meninggalkan Umno BN," kata Rafizi.
Sewaktu dihubungi, Zaid berkata beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara tersebut esok.
