Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taib: Betulkan tanggapan palsu terhadap S'wak

Perwakilan Malaysia di luar negara boleh menjadi perantara dalam membetulkan tanggapan palsu terhadap Sarawak terutama tentang isu hutan dan kaum Penan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

    

Katanya negeri itu sering menjadi mangsa serangan berniat jahat terutama oleh badan bukan kerajaan, walaupun hakikatnya Sarawak berjaya menguruskan hutan dengan baik manakala kebajikan kaum Penan pula dijaga.

    

"Mengenai isu perhutanan, Sarawak ada polisi yang menetapkan 50 peratus daripada hutan kita tidak boleh 'disentuh', malah 84 peratus daripada kawasan di negeri ini masih dilitupi hutan.

    

"Sekalipun sesetengah hutan kita tuai hasilnya, kita lakukan dengan cara yang sistematik iaitu pembalakan berdasarkan saiz pokok dan usia hutan yang melebihi 50 tahun. Pada masa yang sama kita juga melakukan penanaman semula hutan," katanya dalam ucapan di jamuan malam sempena Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Ke-8' di Kuching  malam tadi.

    

Majlis itu merupakan acara rasmi terakhir Abdul Taib selaku ketua menteri Sarawak.

    

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ramlan Ibrahim.

Mengenai kaum Penan, Abdul Taib berkata kerajaan Sarawak tidak pernah campurtangan atau mengawal masyarakat Penan atas dasar menghormati hak mereka.

"Hakikatnya kira-kira 5,000 daripada mereka masih hidup separa nomad dengan kurang 2,000 menjalani kehidupan nomad sepenuhya. Bagi kerajaan negeri, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tetap dihormati, akan tetapi kerajaan Sarawak dituduh memusnahkan budaya nomad," katanya.

    

Beliau juga mendedahkan mempunyai dua anak angkat daripada kaum Penan.

    

Terdahulu, Ramlan dalam ucapannya berjanji semua duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia akan membantu menyalurkan maklumat yang tepat agar Sarawak tidak lagi dipandang serong oleh komuniti antarabangsa.

- Bernama

ADS