Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang akan melepaskan jawatan Ketua Menteri Sarawak, berkata beliau merancang untuk bersara pada 2007, namun faktor dua 'S' menjadi penyebab yang memaksa beliau menangguhkan hasratnya itu.
Beliau menyatakan dua 'S' itu adalah krisis yang dihadapi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan pembentukan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), sebuah koridor pembangunan baru di tengah Sarawak, yang memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kejayaannya.
"Sudah lama saya mahu bersara... saya merancang untuk bersara pada 2007 dan saya memperoleh kesepakatan dalam kalangan kepimpinan tertinggi PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) bahawa saya perlu menyediakan (Tan Sri) Adenan Satem untuk menjadi pengganti saya.
"Segala-galanya menghala ke arah itu, namun malangnya pada masa itu, saya ternampak apa yang tersirat, krisis besar yang sedang melanda SUPP. Jadi, saya katakan kepada Adenan, tangguh saja dahulu sebab saya tidak mahu anda (Adenan) mengambil alih jawatan ketua menteri tetapi mewarisi segala bentuk masalah," katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di kediamannya di Kuching semalam.
Ditemani isterinya Puan Sri Ragad Kurdi semasa wawancara itu, Taib berkata dua tahun kemudian, beliau sekali lagi bersedia menyerahkan kepimpinan kepada penggantinya, namun terpaksa menangguhkan lagi hasrat itu disebabkan keadaan kesihatan Adenan.
"Jadi saya biarkan dahulu buat sementara... dan beberapa bulan lepas saya lihat Adenan semakin sembuh dan saya fikir sudah tiba masanya.
"Saya nampak peluang untuk menyerahkan (kepimpinan) tahun ini...sebaik saja selesai pilihan raya parlimen (Mei 2013) dan ada masih banyak masa sebelum pilihan raya negeri. Tempoh pemasaan ini selesa untuk Adenan mengambil alih dan mengetuai kepimpinan baru," katanya.
Taib menegaskan meskipun penduduk Sarawak mungkin sudah biasa dengan gaya kepimpinannya selepas menjadi ketua menteri selama 33 tahun, beliau percaya Adenan dapat "mengisi kekosongan itu dengan sangat mudah".
"Mungkin cara kepimpinannya sedikit berbeza," katanya, dan menambah gaya kepimpinan Adenan dapat dilihat sebaik sahaja beliau menyandang jawatan ketua menteri.
Taib bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak baru pada 1 Mac.
Dalam wawancara itu juga, Taib berkata kejujuran ketika berkhidmat kepada rakyat menjadi satu daripada prinsip kepimpinannya sepanjang kariernya sebagai ahli politik.
Beliau berkata semua ahli politik mesti mematuhi prinsip ini bagi menyatukan rakyat yang dipimpin dan bukan mengelirukan mereka.
"Saya katakan apa yang saya katakan dan mungkin seboleh-bolehnya secara berdiplomasi tetapi saya masih menyatakannya. Perkara ini (menyatakan
kebenaran) mungkin dilakukan secara lebih jelas dalam kumpulan kecil yang memahami saya dengan lebih baik daripada kumpulan yang besar," katanya.
Dalam temubual itu, Abdul Taib berkata beliau menghadapi kesukaran pada masa awal kerjayanya sebagai ahli politik apabila kurangnya kefahaman antara kaum kerana rakyat tidak dapat memahami idea-idea beliau.
"Selepas cukup lama berkhidmat, saya fikir rakyat dapat memahami saya dengan lebih baik dan saya menggunakan perkataan "politik pembangunan", sesuatu yang rakyat boleh faham dan berhasrat untuk (mencapainya)," kata beliau.
Abdul Taib, yang akan genap umur 78 tahun Mei ini berkata kerjayanya sebagai ahli politik, yang bermula pada 1963, membolehkan beliau bercampur gaul dengan ramai orang dan keadaan itu dinikmatinya setiap saat.
"Tidak ada masa yang membosankan dalam hidup saya untuk sekian lama. Saya gembira kerana setiap kali saya bercampur gaul dengan orang, saya belajar sesuatu, saya memperoleh sesuatu", kata beliau.
Katanya beliau tidak mempunyai rancangan buat masa ini untuk berkongsi pengalaman dengan menulis buku kerana beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharu beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Abdul Taib, yang akan meletak jawatan sebagai ketua menteri hari ini dan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem, dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu pada Sabtu.
"Ini bukan masanya bagi saya untuk menulis sesuatu dahulu. Saya mahu melihat keadaan dari luar kaca mata ketua menteri," kata beliau.
Selepas bersara, Abdul Taib memberitahu Bernama beliau perlu membuat penyesuaian diri dalam kehidupannya selepas begitu lama menjadi pemimpin politik.
Abdul Taib berharap peranan barunya akan membolehkan beliau melawat ke seluruh Sarawak untuk berdialog dan bercampur dengan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana bukan berbaur politik.
"(Selepas mengundur diri sebagai Ketua Menteri), saya mahu menjadi rakyat Sarawak yang sebenar dan berasa bebas seperti personaliti rakyat Sarawak (daripada) hanya (dikenali sebagai) ahli politik Sarawak," kata beliau.
- Bernama
