Kejahilan Penasihat Ekonomi negeri Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perjanjian air yang ditandatangani kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat menunjukkan beliau penasihat pada nama sahaja, kata Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Walaupun sebenarnya dia kata, dia jadi penasihat ekonomi negeri Selangor. Agak aneh kalau sudah jadi penasihat ekonomi, tak tahu apa yang berlaku di Selangor.
"Maknanya dia tak pernah bagi apa-apa nasihatlah," kata Muhyiddin dalam sidang medianya di Sungai Chua hari ini.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, beliau dan partinya tidak tahu menahu berhubung memorandum persefahaman yang dimeterai antara kerajaan Selangor dan kerajaan pusat kelmarin.
Katanya, sekalipun beliau dimaklumkan dari masa ke semasa tetapi tidak mengetahui perkembangan terkini berhubung perkara itu.