Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 92, hari ini secara rasmi menamatkan perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak keenam.

Majlis istiadat perpisahan diadakan di pekarangan Astana Negeri, di Kuching.

Terdahulu Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah menyaksikan Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima bagi menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang melepaskan jawatan itu.

Pada istiadat itu, Abang Muhammad Salahuddin diberi tabik hormat sebelum memeriksa pasukan kawalan kehormat Batalion ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA), Kem Batu Kawa terdiri daripada 105 pegawai dan anggota diketuai DSP Marebon Manju.

Pemeriksaan kawalan kehormat itu diiringi pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Selepas bacaan doa, Abang Muhammad Salahuddin dan isteri diiringi Adenan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, barisan kabinet negeri, menteri persekutuan dan kenamaan lain, bersalaman dengan kira-kira 130 kakitangan Astana Negeri.

    

Suasana hiba menyelubungi tatkala Abang Muhammad Salahuddin dan isteri bersalaman dengan kakitangan Astana Negeri yang tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan ada yang menangis.

    

Yang Dipertua Negeri Sarawak keenam itu dan isteri kemudiannya bergerak ke kenderaan rasmi dan diiringi dari Astana Negeri ke kediaman peribadi di Sri Impian, Kampung Temenggong, Jalan Matang, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Berketurunan Melanau, Abang Muhammad Salahuddin dilahirkan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu kepada pasangan Abang Barieng Abang Anyut dan Dayang Tamiyang Abang Masor.

Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Roman Catholic Sacred Heart ketika berusia 10 tahun sehingga menamatkan Standard 7.

Abang Muhammad Salahuddin berkahwin dengan Toh Puan Dayang Umi Khalsom dan mempunyai sembilan orang anak.

    

Beliau kemudian berkahwin kali kedua dengan Toh Puan Norkiah pada 1996, dan mengambil empat orang anak angkat.

Abang Muhammad Salahuddin memulakan kerjaya dengan menyertai perkhidmatan awam pada 1940 sebagai Pegawai Kesihatan Dalam Percubaan di Sibu dan Matu.

Selain itu beliau turut berkhidmat sebagai Inspektor Perbandaran Dalam Percubaan sehingga Oktober 1947,  Inspektor Perbandaran Dalam Percubaan (selepas Perang Dunia Kedua sehingga Oktober 1946).

    

Beliau kemudiannya menyertai Jabatan Pendaftaran Negara pada 1949 sebagai kerani dan bertugas di Jabatan Kerja Raya (1952-1963) sebelum meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk menyertai politik.

Abang Muhammad Salahuddin pertama kali dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketiga pada 2 April 1977 selama lima tahun.

    

Beliau kemudiannya dilantik Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak ketika Yang Dipertua Negeri ketika itu Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor bercuti selama sebulan pada Jun 1990.

Beliau juga dilantik memangku jawatan sama pada 10 Sept 1999 apabila Ahmad Zaidi menjalani rawatan di Kuala Lumpur dan pada 4 Dis 2000 apabila Ahmad Zaidi meninggal dunia.

Pada 21 Feb 2001, Abang Muhammad Salahuddin dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak keenam dan melakar sejarah apabila memegang jawatan itu sebanyak dua kali.

- Bernama

ADS