Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu gabungan NGO yang didokong 55 NGO Melayu Islam berikrar untuk memupuk perpaduan nasional dengan orang Melayu sebagai kuasa "dominan yang baik".

Ketua Sekretariat Barisan Perpaduan Nasional, Datuk Laksamana Madya Mat Rabi Abu Samah berkata orang Melayu mempunyai tanggungjawab berbuat demikian demi kepentingan kaum-kaum lain dalam negara ini.

"Perpaduan ini hanya akan tercapai apabila kuasa dominan iaitu Melayu mempunyai kuasa baik (benevolent power).

"Inilah tujuan kita menubuhkan (barisan ini) di mana NGO Melayu Islam mencari jalan demi kepentingan nasional.

"Ini bermakna kitalah yang akan merangka untuk kepentingan orang lain juga," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama gabungan tersebut, petang ini.

Mat Rabi berkata konsep perpaduan yang diutarakannya itu adalah berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara dan sedikit sebanyak sama seperti model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan oleh kuasa besar yang memenangi Perang Dunia Kedua.

Dalam sidang media sama, Mat Rabi yang juga merupakan ketua biro perpaduan dan awam PERKASA turut membidas konsep 1Malaysia yang dibawakan kerajaan BN.

"Konsep 1Malaysia ini dah jadi satu konsep yang tak difahami. Saya berani cakap, kerajaan sendiri pun tidak memahaminya," katanya.  

Terdahulu, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali membacakan perisytiharan enam perkara sebagai asas kepada penubuhan Barisan Perpaduan Nasional.

Menurutnya, Mat Rabi akan bertindak sebagai ketua sekretariat sementara menantikan pelantikan seorang 'tokoh berwibawa' bagi mengetuai gabungan tersebut.

Pada masa sama, Ibrahim mengumumkan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan bekas pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Tan Sri Datuk Zaman Khan Rahim Khan akan bertindak sebagai jurucakap gabungan itu.

Jelasnya lagi, di antara NGO Melayu Islam yang turut serta dalam gabungan itu adalah PERKASA, MUAFAKAT, JATI, ISMA, ABIM, PKPIM, GPMS, PEMBELA, Majlis Profesional Melayu Malaysia, Majlis Usahawan Melayu Malaysia, Persatuan Ilmuan Malaysia, PEWARIS dan Jamiah Dakwah Islamiah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS