Wisma Putra akan meneliti laporan dan bantahan dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar terhadap tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) dalam aspek berkaitan hak asasi manusia dan perlembagaan negara sebelum memberikan maklum balas.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin yang menerima laporan setebal 200 muka surat dan salinan 700,000 tandatangan rakyat Malaysia menolak Comango daripada inisiatif Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) di pejabatnya di Putrajaya hari ini, memberi jaminan untuk meneliti laporan itu dan memberikan maklum balas segera.
"Perkara yang akan kita teliti ialah berkaitan hak asasi manusia serta perlembagaan negara," katanya kepada pemberita selepas menerima laporan itu daripada Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahya.
Comango pada Oktober lepas dilaporkan menuntut beberapa perkara merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender kepada Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.
Selain menyentuh isu hak asasi manusia, pertubuhan tidak berdaftar itu turut menuntut hak kebebasan murtad bagi orang Islam, hak kesamarataan agama serta mempersoal isu penggunaan kalimah Allah dan ajaran Syiah.
Hamzah berkata Wisma Putra akan mempertimbangkan untuk meneliti laporan atau aduan yang dikemukakan NGO yang berdaftar atau individu yang mempunyai identiti yang sah supaya tindakan boleh diambil jika terdapat sebarang unsur hasutan dalam laporan tersebut.
"Ianya juga supaya pihak yang menyuarakan aduan akan bertanggungjawab terhadap apa yang disuarakan dan sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat aduan dengan Kementerian Luar boleh menghantar surat," katanya.
Aminuddin dalam pada itu berkata kerajaan perlu menunjukkan pendirian serius dan tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara, ketinggian Islam sebagai agama negara, maruah bangsa dan kepentingan nasional.
"Melalui laporan ini kita hendak memberitahu kerajaan yang mereka (kerajaan) tidak berseorangan dalam mempertahankan perlembagaan negara," katanya.
-Bernama
