Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dahulunya dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara yang ditubuhkan pada 1958, setahun selepas merdeka. Balai ditubuh melalui Akta 516, National Art Gallery Act 1959. Dalam tempoh itu, BSLN telah melalui pelbagai peningkatan dan perubahan.

Dahulu pernah diletak bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, kemudian bawah Kementerian Pelancongan, selepas itu diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan kemudiannya bertukar lagi kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Dan yang terkini selepas 2009 ia bertukar lagi kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan kini dikenali dengan Balai Seni Visual Negara (BSVN).

BSVN pula dibentuk dalam bersama akta baru iaitu Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724). Namun tujuan dan fungsi kekal seperti Akta 516.

Bawah payung pelancongan

Jika kita dapat teliti pola perubahan ini, secara tidak langsung ia memperlihatkan bahawa kerajaan Malaysia tidak memahami dimanakah sepatutnya diletakkan institusi seperti BLVN ini.

Mereka yang memimpin negara rupa-rupanya buta tamadun, buta budaya dan jahil tentang fungsi seni yang hakiki. Hakiki di sini bermaksud yang diterima dan diamal oleh negara-negara hebat dengan seni dan adikaryanya.

Jika kita lihat perubahan terakhir ini (entah berapa lama dapat bertahan bawah Kementerian Pelancongan), hakikatnya BSVN ini dilihat sebagai satu institusi yang tidak penting dan ia boleh diletak sesuka hati mengikut ‘selera’ pemerintahnya.

Perubahan BSVN ke dalam portfolio pelancongan sangatlah membingungkan. Matlamat industri pelancongan itu adalah untuk membawa masuk hasil berupa wang ringgit ke dalam negara dengan harapan ia akan dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sektor tempatan.

Ttetapi penubuhan  BSVN bukan itu matlamatnya, ia punya matlamat yang lebih tinggi, yang bukan bersifat komersial semata-mata.

Kali ini, kita dengan jelas dapat menghidu bahawa kerajaan melihat seni tampak (visual) ini sebagai elemen pelancongan semata-mata. Sama seperti produk kraftangan atau muzium. Ini merupakan satu mesej yang salah.

Peranan BSVN

Penubuhan BSLN atau BSVN ini merangkumi beberapa perkara penting iaitu untuk memunya karya sebagai Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara, memulihara, memelihara dan mendokumentasikan serta untuk tujuan penyelidikan demi satu matlamat iaitu sebagai koleksi sejarah yang bersifat kolektif iaitu Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara.

Selain daripada itu, BSVN juga memain peranan untuk mempromosi dan meningkatkan mutu seni visual negara menerusi pelbagai aktiviti seperti menganjurkan pameran, bengkel, pertandingan dan pelbagai lagi aktiviti rentas budaya, baik dalam dan luar negara.

Kesemua inti penubuhan dan fungsi BSVN ni tidak ada kaitan langsung dengan produk atau tarikan pelancongan. Malah jika sebagai satu tarikan sekalipun, ia menjurus kepada tarikan yang bersifat ilmiah, untuk pendidikan, untuk penghayat kesenian menerusi perkongsian idea pelbagai budaya dan pengetahuan.

Matlamat Pelancongan

Pelancong yang pergi ke galeri adalah kerana adanya himpunan karya tetap di galeri tersebut. Himpunan tetap disini bermaksud orang datang sebab nak lihat dan hayati karya seniman-seniman hebat negara tersebut, karya-karya pelbagai aliran, pelbagai media (bahantara), pelbagai genre.

Pelancong ini bukan pelancong tepi jalan, pelancong jenis ini bukan datang mahu membeli barang kraftangan atau cenderahati lukisan atas pinggan.

Niat kerajaan ini semakin terserlah apabila melantik Datuk Mahadzir Lokman sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Kita tak mempersoalkan individu Mahadzir Lokman ini sebagai seorang profesional dan selebriti. Yang kita persoalkan, adakah perlantikan ini berniat untuk menggunakan tokoh tersebut untuk tujuan promosi pelancongan kementerian menerusi institusi seperti BSVN?

Semua tahu bahawa Mahadzir Lokman ini dianggap unik kerana kepetahan dan kebolehannya bertutur pelbagai bahasa yang sememangnya juga dikenali sebagai pengacara yang sangat hebat, beliau seorang – ‘aktor’ unggul dibidang penyiaran (broadcasting), sudah semestinya beliau mampu menggalas tugas sebagai ‘duta pelancongan’ atau ‘jurucakap pelancongan’ yang sangat bagus.

Tetapi hakikatnya, beliau adalah pengarah satu institusi seni yang unggul, yang mempunyai tradisi keilmuan seni yang hebat, dan beliau bukan seorang yang terdidik dengan pengetahuan seni yang sedemikian rupa.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara mestilah seorang tokoh yang mengetahui, memahami dan mempunyai latar belakang yang baik dalam aspek kesenian dan falsafah.

Apakah budibicara menteri iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam hal ini? Adakah beliau sedar bahawa matlamat beliau sebagai menteri pelancongan telah memperjudikan nasib dan masa depan BSVN termasuk golongan para seniman serta bakat-bakat baru.

BSVN bukan zoo lukisan

Saya sendiri telah bertemu dengan beberapa rakan pelukis senior dan berbincang tentang perkara ini, mereka hanya mengeluh. Malah mereka kecewa apabila BSVN yang menjadi medan untuk mereka berkarya kini diletak disebuah kementerian yang tiada lagi ‘kesenian’. Yang tinggal hanya ‘Pelancongan dan Kebudayaan’.

Mungkin tidak hairanlah mengapa berlaku dua karya yang terpilih ke peringkat akhir Bakat Muda Sezaman 13 baru-baru ini dikeluarkan dari senarai penerima anugerah tersebut. Karya Cheng Yeng Pheng, dengan imej ‘ABU’ dilaporkan hilang sewaktu acara pameran berlangsung, begitu juga dengan kara ‘fa’ – ‘qof’ karya Izat Arif Saiful Bahri.

Karya-karya tersebut pastinya tidak ‘sesuai’ dengan matlamat ‘pelancongan’ menteri Datuk Nazri Aziz. Sebaliknya aktiviti melukis potret model Miss Tourism International (MTI) diberi tempat sebagai aktiviti istimewa BSVN.

BSVN bukanlah zoo lukisan atau zoo pelukis, BSVN adalah ruang kreativiti manusia mencurah idea dalam merakam dan memanifestasikan rupa bangsa mereka.

Zoo di Ulu Klang lebih mengharapkan bantuan Kementerian Pelancongan untuk dibantu dan dinaiktaraf menjadi zoo yang hebat dan menarik. Menteri seharusnya membantu dalam hal ini.

Jika ini berterusan, pasti himpunan karya yang akan dimiliki dan dicari termasuk program aktiviti seni hanya ingin menunjukkan ‘keunikan’ Malaysia atau ‘kecantikan’ Malaysia sebagai destinasi pelancongan sahaja.

Hinggalah kepada bakat-bakat baru, mereka akan berkarya untuk ‘menarik’ pelancong. Jadilah BSVN sebagai ‘Zoo’ bagi seniman-seniman di Malaysia.


MAHDZIR IBRAHIM adalah ahli jawatankuasa DAPSY Kebangsaan dan pendukung seni dan kebudayaan

ADS