Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini membebaskan anak lelaki bekas ketua menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib daripada prosiding menghina mahkamah yang dibawakan bekas isterinya Shahnaz A Majid.

Hakim Azzeman Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan penjelasan anak kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu yang sebelum ini diperintahkan mahkamah untuk membayar lebih RM900,000 untuk nafkah anak sementara.

"Mahkamah terima tunjuk sebab daripada responden (Bekir) dan permohonan komital (menghina mahkamah) ditolak," kata Hakim Azzeman sewaktu membacakan keputusan.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 26 Februari 2013 mengeluarkan satu perintah ex-parte mengarahkan Bekir membayar RM902,746.69 untuk nafkah anak bagi membiayai pendidikan anaknya di United Kingdom.

Perintah itu adalah sebahagian daripada tuntutan RM121 juta daripada Shahnaz untuk nafkah anak.

Shahnaz juga menuntut bayaran mutaah sebanyak RM100 juta dan tuntutan harta sepencarian sebanyak RM300 juta.

Dalam keputusannya pagi ini, Hakim Azzeman bersetuju dengan hujah peguam Bekir sebalum ini bahawa permohonan menolak perintah ex-parte yang difailkan pada 26 Mac 2013 perlu didengar terlebih dahulu sebelum sebarang dakwaan menghina mahkamah dikenakan ke atas ahli perniagaan itu.

Beliau juga bersetuju dengan permintaan peguam Shahnaz yang memohon agar perbicaraan kes tuntutan nafkah anak sebanyak RM121 juta ditangguh ke 10 Jun 2014.

Permohonan itu dibuat Dr Mohd Rafie Mohd Shafie dan Akbardin Abdul Kader yang mewakili Shahnaz.

"Ada isu-isu lain yang kita perlu perhatikan dan perhalusi daripada implikasi kes hari ini," kata Dr Mohd Rafie sewaktu membuat permohonan di hadapan hakim.

Kes tersebut akan didengar pada jam 11 pagi, 10 Jun 2014 di mahkamah yang sama.

Shahnaz dan Bekir berkahwin pada 9 Januari 1992 dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Raden Murya yang kini berusia 21 tahun.

Shahnaz dan Bekir bercerai secara rasmi pada 11 Mei 2011.

ADS