Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat timbalan menteri tampil jawab kritikan
Diterbitkan:  Mar 21, 2014 7:14 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Ekoran kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung kes rogol membabitkan mangsa bawah umur yang mengundang kecaman pelbagai pihak, pejabatnya hari ini mengeluarkan kenyataan media menjelaskan perkara itu.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada pejabat timbalan menteri itu mengenainya hari ini:

Kenyataan media Setiausaha Sulit Kanan kepada timbalan menteri, Wan Hamzah Wan Paie.

Saya selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri membuat sidang akhbar ini bagi memberi penjelasan yang betul mengenai isu terhadap jawapan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri mengenai statistik kes rogol gadis bawah umur.

1) Saya ingin menegaskan di sini bahawa sewaktu menjawab soalan, YB Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh, YB Setiu di Parlimen pada 18 Mac yang lepas, YB Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak pernah menyebut dalam jawapan beliau bahawa golongan bukan melayu tidak sensitif ataupun menerima aktiviti-aktiviti seks gadis bawah umur dalam masyarakat mereka. YB Datuk Wan Junaidi tidak pernah menyebut ayat-ayat tersebut dalam jawapan beliau. Semua ayat tersebut ada dalam ulasan kata-kata YB Chong Chieng Jen (YB DAP Bandar Kuching) sewaktu  mengulas jawapan YB Datuk Wan Junaidi. YB Chong menyatakan apa yang beliau faham dari jawapan yang diberikan oleh YB Datuk Wan Junaidi tetapi kata-kata tersebut bukanlah kata-kata dari YB Datuk Wan Junaidi sendiri. Malangnya beberapa pihak portal news dalam alam maya dan sebahagian pengguna Facebook telah merujuk kata-kata YB Chong ini sebagai perkataan asal Datuk Wan Junaidi. Untuk mendapatkan kebenaran perkara ini saya ingin merujuk semula jawapan YB Datuk Dr Wan Junaidi seperti yang terdapat dalam Hansard Parlimen Malaysia bertarikh 18 & 19 Mac 2014 (dikepilkan hansard tersebut).

Apabila kita merujuk kepada keseluruhan konteks perenggan itu, maka kita dapati perenggan tersebut adalah menyentuh mengenai statistik tindakan membuat laporan kepada pihak polis. Maka apabila Datuk Wan Junaidi menyebut “Pihak lain kurang sensitif kepadanya” dan “perkara yang berlaku itu boleh diterima oleh pihak lain” maka yang dimaksudkan oleh Datuk wan Junaidi melalui ganti nama “nya” dan “perkara yang berlaku itu” adalah tidak sensitif untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan bukanlah tidak sensitif terhadap gejala rogol gadis bawah umur sepertimana yang difahami oleh YB Chong. Sesungguhnya pemahaman dan tafsiran serta kata-kata YB Chong terhadap jawapan Datuk Wan Junaidi adalah jauh tersasar dan terpesong dari maksud sebenar Datuk Wan Junaidi.

2. Dalam berhadapan dengan kebenaran jawapan Datuk Wan Junaidi ini, saya memuji pendekatan YB Gobind Singh  Deo yang lebih rasional dan waras di mana beliau mempersoalkan apakah bukti yang menunjukkan golongan bukan melayu kurang sensitif dalam melaporkan kes rogol bawah umur ini kepada pihak polis. Untuk menjawab soalan ini saya menyeru semua pihak merujuk kepada perangkaan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara mengenai jumlah anak luar nikah yang dilahirkan oleh gadis bawah umur dan kita bandingkan jumlah laporan polis bagi kes rogol bawah umur mengikut statistik kaum seperti berikut:

Kelahiran anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah) tahun 2012 – 2013:

BIL   AGENDA                            MELAYU   BUKAN MELAYU

1.     Jumlah anak luar nikah

       oleh gadis bawah umur

       (perangkaan dari Jabatan

       Pendaftaran Negara).             1490          1836

2.    Jumlah kes rogol bawah

       umur yang dilapor

       kepada polis.                        2390           584

3.    Jumlah kes rogol dalam

       ruangan 1 yang tidak

       dilapor kepada pihak polis.      Tiada          1252

 

Inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Wan Junaidi bahawa kaum Melayu sensitif dalam membuat laporan manakala kaum bukan melayu kurang sensitif untuk melaporkan kes rogol bawah umur ini kepada pihak polis. Maka tafsiran terhadap perkataan beliau yang dibuat oleh YB Chong adalah salah dan terpesong dari maksud sebenar Datuk Wan Junaidi.

3. Ada sesetengah pihak menyatakan bahawa jawapan Datuk Wan Junaidi mengenai kes rogol bawah umur ini yang berdasarkan kepada statistik kaum adalah sebagai tindakan rasis dan maka dengan ini saya menyangkal dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Statistik berdasarkan kaum telah menjadi amalan dalam negara kita dalam usaha memacu Negara kita ke arah negara kita negara maju. Statistik berdasarkan kaum telah digunakan dalam sistem negara kita sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan mahupun sosial.

Statistik ekonomi berdasarkan kaum digunakan di negara kita maka atas dasar itu kita mempunyai Tabung Ekonomi Bumiputera, Tabung Ekonomi India, Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan Melayu dan banyak lagi inisiatif yang berbeza untuk kaum yang berbeza. Tiada yang berkata ini rasis.

Statistik pendidikan berdasarkan kaum digunakan di Negara kita, maka atas dasar ini sistem pendidikan Negara mempunyai SK (J) Cina, SK (J) Tamil, Sekolah Kebangsaan, Tabung Pendidkan Masyarakat India, Persatuan-Persatuan Pendidikan Cina contohnya Dong Zong dan tiada yang berkata rasis.

Statistik sosial berdasarkan kaum juga digunakan dalam negara kita makanya kita mempunyai Persatuan Belia Cina, Belia India, Dan Belia Melayu bahkan parti politik kita juga berdasarkan kepada statistik kaum menyebabkan kita menerima dan mengamalkan parti berasaskan kaum. Tiada yang berkata ini rasis.

Maka atas dasar apa apabila Datuk Wan Junaidi membentangkan statistik rogol bawah umur berdasarkan kaum maka beliau dituduh rasis. Makanya saya memuji kenyataan akhbar dari :

1.Presiden Persatuan Peguam Wanita iaitu Meersamatan dalam The Star semalam,

2.Pengarah Program Sister In Islam , Suri Kempe

3.Presiden Organisasi Bantuan Wanita, Mok Chuang

Di mana ketiga-tiga mereka di atas menyeru agar statistik yang dikeluarkan oleh Datuk Wan Junaidi itu tidak dilihat dari aspek perkauman tetapi digunakan untuk lebih memahami masalah dan mencari penyelesaian untuk masyarakat kita yang mempunyai pelbagai kaum di peringkat akar umbi.

4. Datuk Wan Junaidi juga telah menjawab dalam parlimen mengenai statistik rogol ini secara berani dan jujur tanpa menyembunyikan apa-apa fakta walaupun beliau tahu jawapan tersebut mungkin tidak popular dan membuka pekung sesetengah pihak namun yang jelas beliau menjawab atas dasar kebenaran. Adakah wajar seseorang yang telah membantu kita untuk memahami kebenaran mengenai masyarakat kita sendiri dikondem dan dilabel rasis semata-mata demi kepuasan nafsu politik individu tertentu. Seharusnya kita berterima kasih kepada Datuk Wan Junaidi kerana telah membuka mata kita dalam isu ini dengan harapan semua agensi, NGO, individu yang memperjuangkan pembinaan masyarakat Malaysia akan dapat menggunakan fakta ini dalam mencari penyelesaian yang betul dan bersesuaian dengan akar umbi masyarakat kita.

5 Kita juga belajar dari perkara ini betapa mudahnya masyarakat kita di hasut dan di provok atas nama perkauman. Dengan hanya di hidangkan dengan beberapa perkataan hasutan maka kita hilang pertimbangan dan kewarasan dalam menilai dan mencari kebenaran. Semoga Allah S.W.T melindungi negara kita dari anasir merbahaya ini.

Kementerian Dalam Negeri

21 Mac 2014

ADS