Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Khutbah: Elak tambah pilu waris MH370

Farah Noor Samat

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menyeru umat Islam supaya tidak menambahkan kesedihan ahli keluarga dengan menyebarkan spekulasi berhubung pesawat MH370 yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi.

Sekali gus, khutbah itu juga memohon semua pihak tidak mudah mempercayai pelbagai persepsi dan teori yang dicipta berhubung insiden itu.

"Usahlah mudah mempercayai pelbagai persepsi, dicipta bermacam andaian, dilempar segala kritikan dan disebarkan teori rekaan sendiri.

"Selamilah hati, sanubari dan perasaan keluarga dan sanak saudara mangsa yang terlibat ini, dan elakkanlah dari menambah kesedihan dan kepiluan mereka dengan membuat pelbagai spekulasi dan tohmahan fitnah," teks khutbah Jumaat JAKIM dipetik.

Khutbah itu juga menegaskan semua tanggungjawab menangani kehilangan MH370 diserahkan kepada pihak berkuasa dan menyeru umat Islam bertawakal kepada Allah, bersolat hajat dan berdoa supaya Allah memudahkan segala urusan dan mangsa tragedi beragama Islam berada di bawah perlindungan-NYA.

Khutbah itu juga berasa bangga dengan usaha gigih dan kerjasama yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia dengan pasukan mencari dan menyelamat negara luar di lokasi tragedi.

Di samping itu, mimbar itu juga, mengingatkan umat Islam supaya bersabar dengan ketentuan qada’ dan qadar kerana ia hak mutlak Allah SWT.

"Tariklah nafas keimanan dan bersabarlah, mudah mudahan dengan kita bersabar ini, rahmat Allah SWT akan bersama dengan kita.

"Ingatlah bahawa kesabaran saat ditimpa musibah dan kesulitan yang tidak diinginkan adalah senjata bagi orang yang beriman untuk merubah segala kesulitan yang dihadapi itu dengan penuh ketabahan," katanya.