Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Rakyat hari ini menegaskan yang mereka cuma mahu Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk memberi taklimat mengenai kehilangan MH370 seperti dijadualkan pada malam ini.

Kenyataan itu dibuat anggota parlimen Gombak, Azmin Ali pada sidang media bersama beberapa lagi MP Pakatan yang lain pagi ini.

"Kami mahu menteri berkenaan hadir, dan bukannya mana-mana menteri lain," kata Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Sementara itu, MP Gelang Patah Lim Kit Siang menganggap Hishammuddin kini "menghilangkan diri" apabila memutuskan untuk ke Hawaii pada tarikh sama beliau sepatutnya memberi taklimat kepada MP Pakatan.

"Kami dengar yang beliau sudah menghilangkan diri," kata Lim dalam sidang media bersama Azmin di bangunan parlimen.

Hishammuddin hari ini dilaporkan berlepas ke Amerika Syarikat untuk menghadiri satu sidang pegawai pertahanan Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN.

Menteri minta notis pembangkang

Dalam perkembangan lanjut, Menteri di Jabatan Perdana Merteri Datuk Seri Shahidan Kassim petang ini mengumumkan bahawa sesi taklimat untuk pembangkang pada malam ini dibatalkan.

Shahidan menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan bahawa Hishammuddin perlu ke Hawaii pada tarikh sama taklimat kepada MP Pakatan sepatutnya berlangsung.

Katanya, beliau juga masih menanti notis daripada Pakatan Rakyat untuk memohon taklimat itu diadakan untuk memenuhi "tatacara pentadbiran".

"Jangan politikkan isu ini, bagilah tarikh yang mereka sendiri lapang.

"Saya akan aturkan, tiada masalah. Jadi tidak ada masalah walaupun hari ini tak jadi.

"Secara pentadbirannya saya perlukan notis (daripada mereka)," katanya.

Sesi taklimat kepada MP BN sebelum ini dihadiri oleh Hishammuddin, ketua pegawai eksekutif MAS Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

ADS